Kementerian sedia siasat dakwaan bekas pemandu Rapid KL
Kementerian Sumber Manusia sedia menyiasat laporan dakwaan bekas pemandu bas Rangkaian Intergrasi Deras Kuala Lumpur (RapidKL) Sdn Bhd bahawa mereka diberhentikan kerana mahu menubuhkan kesatuan sekerja di syarikat tersebut.
Kementerian Sumber Manusia sedia menyiasat laporan dakwaan bekas pemandu bas Rangkaian Intergrasi Deras Kuala Lumpur (RapidKL) Sdn Bhd bahawa mereka diberhentikan kerana mahu menubuhkan kesatuan sekerja di syarikat tersebut.
Timbalan menterinya, Datuk Abdul Rahman Bakar berkata, bagaimanapun, pekerja terbabit perlu membuat laporan kepada kementeriannya terlebih dahulu.
"Kita akan menyiasat sebaik sahaja aduan diterima tetapi kementerian tidak boleh berbuat demikian jika mereka tidak membuat aduan. Sehingga ini, belum ada laporan mengenainya diterima.
"Mengikut Akta Pekerjaan 1955, mana-mana syarikat yang tidak membenarkan pekerjanya menubuhkan kesatuan sekerja boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau didenda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Putrajaya, Rabu lalu.
Abdul Rahman berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan bahawa pemandu terbabit diberhentikan kerana cuba menubuhkan kesatuan pekerja sendiri bagi menjaga kepentingan mereka.
Awal September lalu, RapidKL telah memberhentikan 62 pemandu bas dari 11 depot di ibu negara dan Selangor.
Berikutan itu, pada 30 September lalu, 20 pemandu terbabit terbabit telah memfailkan aduan kepada Jabatan Perhubungan Perusahaan.
Tuntut hak
Wakil pemandu, Idris Hashim berkata, beliau dan rakan-rakannya terpaksa membawa kes itu ke jabatan berkenaan demi menuntut hak.
Sementara itu, Abdul Rahman berkata, beliau juga mahu tahu mengapa pemandu bas ekspres dibayar gaji yang rendah sehingga menimbulkan tidak puas hati di kalangan mereka.
Katanya, beliau sanggup menjadi orang tengah bagi menyelesaikan isu mengapa gaji pemandu bas ekspres terlalu rendah.
"Gaji pemandu bas ekspres di negara kini kira-kira RM260 sebulan seperti sukar dipercayai," katanya.
Katanya, beliau mahu tahu mengapa syarikat hanya membayar gaji pemandu begitu rendah berbanding sektor pekerjaan lain.
"Saya anggap majikan menghisap darah dan mereka semata-mata mengaut keuntungan yang banyak," katanya.
Akibatnya, kata beliau, ada pemandu yang menggunakan pil kuda supaya boleh memandu dalam jangka masa lama bagi mengejar trip.

