Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menyuarakan harapan agar Majlis Media Malaysia menjadi platform terbaik untuk menangani kesilapan seperti reka grafik Jalur Gemilang oleh sebuah akhbar berbahasa Cina baru-baru ini.
“Apabila majlis media dibentuk, ia akan menjadi platform terbaik untuk menangani isu seperti ini.
"Tetapi sementara itu, proses (sedia ada) akan diteruskan," katanya merujuk kepada pelbagai siasatan berterusan yang dijalankan ke atas kesilapan Sin Chew Daily dalam ilustrasi muka depan bendera Malaysia.
Fahmi mendedahkan bahawa dia bertemu dengan pengurusan Sin Chew bersama timbalannya Teo Nie Ching awal hari ini.
"Kami telah memaklumkan kepada mereka tentang siasatan yang sedang dijalankan," katanya pada sidang media di Angkasapuri, Kuala Lumpur.
Akhbar berbahasa Cina itu telah menerbitkan ilustrasi Jalur Gemilang, tanpa bulan sabit, di muka depannya Selasa lepas sempena liputan lawatan negara Presiden China Xi Jinping ke Malaysia.
Awal hari ini, wartawan veteran A Kadir Jasin turut mencadangkan agar perkara itu ditangani dengan lebih baik oleh majlis media, dan bukannya menjadi kes polis atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).
Insiden itu mendapat kritikan pelbagai pihak termasuk Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang bertitah kesilapan yang tidak boleh diterima itu boleh mencetuskan sensitiviti orang ramai.
Susulan itu, akhbar itu mengeluarkan permohonan maaf atas kesilapan berkenaan, menjelaskan bahawa ia adalah kesilapan teknikal yang tidak disengajakan.
