Badan Pencegah Rasuah (BPR) telah menyiapkan siasatannya terhadap klip video perbualan peguam Datuk VK Lingam tetapi gagal mengesahkan kesahihannya, demikian dilaporkan oleh akhbar New Straits Times hari ini.

"Kita telah menghantar salinannya untuk analisa kepada semua pakar, tetapi tiada seorangpun boleh mengesahkan ketulenannya, atau mengesahkan orang di dalamnya atau yang di sebelah sana, atau mereka yang didakwa (di dalamnya)," kata satu sumber kepada akhbar tersebut.

Sumber itu berkata, adalah penting bagi BPR mendapatkan salinan asal klip video tersebut kerana ada risiko klip yang pada badan itu telah diubahsuai.

Sebelum ini, BPR telah mengarahkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dua ahli parti itu supaya menyerahkan versi penuh klip video tersebut sepanjang 14 minit.

Mereka bagaimanapun enggan menyerahkannya kerana bimbangkan keselamatan sumber klip video tersebut.

Malah, semalam Anwar telah memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mengenepikan arahan BPR.

Anwar telah mendedahkan sebahagian daripada klip video tersebut - sepanjang 8 minit -, yang menunjukkan Lingam sedang berbual melalui telefon mengenai pelantikan hakim-hakim.

Anwar mendakwa, berdasarkan kontek perbualan tersebut, yang bercakap dengan Lingam adalah Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Abdul Halim dan terdapat dakwaan unsur-unsur rasuah.

Sumber dalam laporan New Straits Times itu mengkritik Anwar yang didakwanya tidak serius untuk membantu BPR.

"Jika mereka serius mahu kes ini disiasat secara terperinci, mereka sepatutnya menyerahkan kepada kita klip video asal... sebaliknya, mereka memain isu tidak mahu mendedahkan sumber mereka," tambahnya.

Menurut laporan itu lagi, BPR telah mengambil kenyataan dari "setiap orang yang berkaitan dengan kes tersebut", termasuk "seorang hakim kanan" yang kemungkinan besarnya Ahmad Fairuz.

Berikutan itu, kata laporan tersebut, BPR dijangka menyerahkan hasil siasatannya kepada pihak pendakwa untuk tindakan selanjutnya.

Sumber itu juga mendedahkan bahawa BPR juga akan memberi taklimat kepada tiga anggota panel bebas yang ditubuh oleh kerajaan untuk menyiasat kesahihan klip video tersebut, Isnin ini.