Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberikan jaminan kerajaan akan memberikan perlindungan keselamatan kepada saksi dalam siasatan klip video perbualan telefon peguam Datuk VK Lingam.

Untuk tujuan itu, kata Abdullah, polis akan diminta memberikan perlindungan untuk saksi terbabit.

"Di mana diperlukan, kita berilah (perlindungan kepada saksi)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat saintifik tahunan ke-10 Persatuan Pembedahan Torasik dan Kardiovaskular Malaysia di Kuala Lumpur hari ini.

Abdullah menjelaskan Rang Undang-undang Perlindungan Saksi sedang digubal oleh kerajaan, demikian dilaporkan oleh Bernama.

"Peguam Negaralah kena tentukan undang-undang yang akan digunakan. Persediaan (rang undang-undang itu) belum sampai ke peringkat Kabinet lagi," katanya.

Isnin lalu, Badan Pencegah Rasuah (BPR) mengeluarkan perintah terhadap Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menyerahkan klip video asal rakaman tersebut selewat-lewatnya Khamis lalu ke pejabat BPR di Putrajaya.

Kesahihan rakaman

Bagaimanapun, kata BPR, Anwar gagal menyerahkan rakaman klip video asal itu pada tarikh yang ditetapkan itu.

Ketua Pengarah BPR Datuk Ahmad Said Hamdan dipetik sebagai berkata Anwar perlu mematuhi perintah yang dikeluarkan mengikut Seksyen 22(1) (b) Akta Pencegahan Rasuah 1997 bagi menyerahkan klip video asal itu.

Jika gagal mematuhi perintah itu, beliau dianggap melakukan kesalahan mengikut Seksyen 29(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Anwar adalah orang ketiga menerima notis arahan dari BPR. Sebelum ini, notis yang sama telah diterima oleh Naib Presiden PKR, R Sivarasa dan pembantu Anwar - Sim Tze Tzin - yang mengarahkan mereka mendedahkan sumber maklumat tersebut.

Bagaimanapun, kedua-duanya enggan berbuat demikian kerana bimbangkan keselamatan sumber klip video tersebut.

Pada 18 September lalu, BPR mula menjalankan siasatan bagi membantu Panel Bebas Khas yang dipengerusikan bekas Hakim Besar Malaya Tan Sri Haidar Mohd Noor dan dianggotai Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara Tan Sri Lee Lam Thye dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mahadev Shankar untuk menentukan kesahihan rakaman klip video itu.

Klip video itu menunjukkan perbualan telefon Lingam, didakwa dengan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim, mengenai pelantikan hakim-hakim yang 'sehaluan'.

Ahmad Fairuz, yang merupakan Hakim Besar Malaya ketika klip video itu dikatakan dirakam, telah menafikan sebarang pembabitannya, melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga halehwal perundangan, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz.

M

Semalam, Anwar memfailkan permohonan untuk mengenepikan perintah BPR itu di Bahagian Pendaftaran Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.