Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Adakah fardu kifayah perlu diutamakan, soal ulama Umno
Diterbitkan:  Apr 21, 2025 11:59 AM
Dikemaskini: 3:59 AM

Kenyataan oleh Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang dianggap sebagai fatwa berhubung keperluan menangguhkan ibadah haji dan umrah demi memastikan kemenangan politik perlu dibawa Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan untuk dinilai.

Timbalan Pengerusi Majlis Ulama Umno Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, ini kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan hukum Islam dalam masyarakat.

"Saya mengatakan haji yang wajib adalah fardu ain manakala pilihan raya adalah fardu kifayah. Adakah fardu kifayah diutamakan berbanding fardu ain?

“Para fuqaha telah membincangkan hukum antara keperluan haji dan jihad," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bekas Setiausaha Majlis Syura PAS itu berkata, ulama menegaskan ibadah haji adalah fardu ain yang bersifat segera apabila cukup syarat berdasarkan firman Allah (bermaksud) 'dan menjadi milik Allah sebagai kewajipan pada manusia menunaikan haji ke Baitullah bagi sesiapa yang berkemampuan untuk mengerjakannya'.

"Jihad pula hukumnya fardu kifayah selagi pemerintah tidak membuat seruan jihad sebagai fardhu ain seperti ketika negara diserang oleh musuh.

"Apabila bertembung antara kewajipan haji yang bersifat fardu ain dengan jihad yang bersifat fardu kifayah maka wajib diutamakan fardu ain.

Penglibatan setiap individu dalam pilihan raya di Malaysia dewasa ini adalah fardu kifayah bukannya fardu ain," katanya.

Hadi ketika berceramah pada majlis kempen calon PN untuk PRK DUN Ayer Kuning di Tanjung Keramat, Perak malam kelmarin mengulangi rungutan sebelum ini bahawa umat Islam di negara ini lebih cenderung menunaikan ibadah haji dan umrah berbanding berusaha untuk menguasai pentadbiran negara.

“Utamakan kemenangan politik. Nabi nak tunaikan haji pun...nabi mendahulukan kemenangan politik daripada tunaikan haji dan umrah.

"(Ia) boleh ditangguh, kemenangan politik tidak boleh ditangguh," katanya ketika berceramah pada majlis kempen calon PN untuk PRK DUN Ayer Kuning.

Mohd Khairuddin berkata, apabila bertembung antara kewajipan haji yang fardu Ain dengan kewajipan mengundi yang fardu kifayah maka mesti diutamakan ibadah haji yang wajib.

Melainkan katanya, jika satu ketika nanti hukum mengundi menjadi fardu ain dengan maksud setiap orang wajib mengundi dan sesiapa yang tidak mengundi hukumnya adalah berdosa.

"Suasana itu memerlukan fatwa oleh pihak berkuasa agama yang berautoriti sebagaimana fatwa jihad menjadi fardu ain pada ketikanya hendaklah difatwakan oleh pihak berautoriti agama.

"Fatwa umum Presiden PAS pada situasi masa ini mesti dibawa ke Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan untuk dinilai kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan hukum Islam dalam masyarakat semasa," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS