Bersih minta debat terbuka di RTM
Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) meminta agar debat terbuka disiarkan secara langsung di Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) sewaktu pilihanraya umum yang akan datang.
Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) meminta agar debat terbuka disiarkan secara langsung di Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) sewaktu pilihanraya umum yang akan datang.
Dalan satu kenyataan hari ini, Bersih berkata, siaran langsung debat yang melibatkan ahli parti politik dan calon-calon pilihanraya akan menjadi satu loncatan ke arah Malaysia yang lebih progresif.
"Sebagai pihak yang bertanggungjawab terhadap proses pilihanraya, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) patut memohon kepada stesen-stesen penyiaran, sekurang-kurangnya RTM, untuk menghoskan debat-debat terbuka," katanya.
Menurut Bersih, ini memandangkan RTM beroperasi menggunakan wang pembayar cukai.
Oleh itu, tambahnya, tiada alasan bagi stesen tersebut untuk tidak melaksanakan keperluan pembayar cukai bagi mendapatkan maklumat yang seimbang dan komprehensif.
"Bersih mempersoalkan keengganan SPR dan RTM sebelum ini untuk menjalankan amalan-amalan asas dan mengikut piawai amalan pilihanraya kepada rakyat Malaysia, yang mana ia merupakan ciri penting pilihanraya di negara-negara demokratik," tambahnya.
Jimat kos
Negara-negara seperti Hong Kong, Australia, Amerika Syarikat dan United Kingdom, menyiarkan debat-debat terbuka antara calon-calon yang bertanding dalam pilihanraya di negara-negara tersebut.
Menurut Bersih lagi, debat terbuka yang disiarkan secara langsung di televisyen tidak memerlukan sebarang teknologi suntingan yang rumit dan ia juga menjimatkan kos.
"Namun demikian, apa yang lebih mustahak ialah ia menyediakan pilihan kepada pengundi untuk membuat penilaian terhadap calon-calon mereka," katanya.
"Bersih mencabar kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk menyokong cadangan ini. Selepas memenangi 12 pilihanraya umum sejak 1955, malu sekiranya kepimpinan BN masih takut untuk mengambil bahagian dalam debat-debat di TV," tambanya.
Justeru, katanya, SPR mestilah mendesak agar program-program debat terbuka disiarkan secara langsung di stesen-stesen televisyen sekiranya ia mahu melihat jumlah pengundi meningkat pada hari pengundian.
Dengan cara ini, kata Bersih, kemungkinan besar debat-debat terbuka di saluran televisyen akan meningkatkan kesedaran politik dan minat rakyat Malaysia berbanding dengan kempen-kempen, mahupun iklan-iklan yang sedang disiarkan oleh SPR sekarang.

