Kos asal pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang sepanjang 24km - termasuk 17km di atas air - ialah RM3 bilion, tetapi menurut Ketua Menteri Pulau Pinang Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, kos itu dijangka meningkat ekoran kenaikan harga bahan mentah.

Katanya, kenaikan harga bahan mentah seperti besi dan simen akan menyumbang kepada peningkatan kos pembinaan jambatan yang merentangi Selat Selatan - menghubungkan Batu Kawan di Seberang Perai dan Batu Maung di bahagian pulau negeri itu.

Dr Koh berkata, beliau akan mengadakan perjumpaan dengan pihak yang terlibat untuk mengetahui dengan lebih terperinci mengenai pertambahan harga tersebut, demikian menurut laporan Bernama.

"Kos RM3 bilion itu berdasarkan penilaian yang dibuat beberapa tahun lalu dan kos itu dijangka lebih tinggi jika dinilai mengikut keadaan semasa selepas harga bahan mentah meningkat," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan "RosettaNet Global Community Summit and Conference" di Pulau Pinang hari ini.

Kerja-kerja pembinaan jambatan itu telah dimulakan dan dijangka siap pada Januari 2011.

Pembinaan jambatan ini melibatkan pembiayaan dari Exim Bank of China, Bank Pembangunan Malaysia dan kerajaan. Perjanjian pembiayaan telah

ditandatangani pada 13 Julai lalu di Putrajaya.

Kontraktor yang terlibat ialah JV Consortium of China Harbour Engineering Company dan UEM Construction. Jambatan ini merupakan sebahagian dari perancangan NCER di utara Semenanjung Malaysia.