Gerak tukar nama ke arah menjadi NGO serantau
Gerakan yang sebelum ini dikenali sebagai Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi pimpinan bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ezam Mohd Nor, kini telah ditukar namanya kepada Gerakan Rakyat Anti Korupsi.
Gerakan yang sebelum ini dikenali sebagai Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi pimpinan bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ezam Mohd Nor, kini telah ditukar namanya kepada Gerakan Rakyat Anti Korupsi.
Penyelaras Eksekutif Gerak, Badrul Hisham Shaharin berkata, penukaran nama itu bersesuaian dengan perkembangan Gerak yang mula 'berevolusi' ke arah menjadi badan bukan kerajaan (NGO) peringkat serantau.
Menurutnya, perkara itu telah di umumkan secara rasmi oleh Ezam (kanan), selaku pengerusi Gerak, bulan lalu.
"Tindakan itu diambil kerana gerak kerja Gerak akan lebih memfokuskan kepada usaha pendidikan, mobilisasi dan pembongkaran rasuah yang menjadi musuh nombor 1 negara dan menjadi permasalahan utama rantau ini juga," katanya dalam satu kenyataan.
"Gerak tidak menolak peranan demokrasi atau usaha memartabatkan demokrasi secara khsusus tetapi melihat kembali keadaan semasa masyarakat, korupsi perlu diperangi sehingga ke akar umbi dahulu.
"Masyarakat yang bebas korup minda, perekonomian dan sosialnya, sudah pasti akan mengangkat dan menghormati martabat insaniah setiap warganya," tambahnya.
Badrul Hisham berkata, Gerak Malaysia akan bergabung dengan Gerak Indonesia yang merupakan gabungan NGO di 26 daerah di republik tersebut.
Pejabat serantau
"Kata persetujuan telah diperolehi untuk beberapa tindakan bersama dalam isu memerangi rasuah dan kemungkinan pejabat serantau Gerak juga akan dibuka di Jakarta.
"Untuk itu juga, Gerak Malaysia sedang dirombak dari segi struktur dan modus operandinya. Ramai aktivis muda akan digabung dalam Gerak Malaysia bukan sahaja sebagai mengisi gerak kerja biasa, tetapi ada yang turut dinamakan sebagai lembaga pengarah," tambahnya.
Menurut Badrul Hisham (kiri), Gerak mendapat sambutan memberansangkan dari segi keahlian dan penyataan sokongan.
"Ramai, termasuk kakitangan kerajaan mahupun sumber dalaman parti pemerintah, telah mula berhubung dengan Gerak untuk menyatakan sokongan dan kesediaan bekerjasama.
"Tidak kurang juga banyak emel dari orang ramai yang menghantar salinan laporan polis dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang mereka buat untuk perhatian dan bantuan," kata Badrul Hisham.
Mengenai perhimpunan anjuran Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) pada 10 November 2007, beliau berkata, Gerak secara rasminya telah menyatakan sokongan terhadap usaha Bersih menuntut pilihanraya bebas dan adil.
"Gerak akan cuba menggerakkan seluruh aktivis berdaftarnya dari seluruh negara, dan makluman mengenai Bersih, termasuk perhimpunan 10 November ini akan disebarkan kepada jaringan Gerak di seluruh dunia," katanya.

