Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nazri Abdul Aziz menolak pelbagai cadangan yang dikemukakan oleh Presiden Majlis Peguam, S Ambiga berhubung pembaharuan dalam badan kehakiman, di Persidangan Undang-undang Malaysia ke-14 di ibu negara hari ini.

Ambiga mengemukakan cadangan-cadangan tersebut sewaktu menyampaikan ucapan aluan-aluan di majlis tersebut yang turut dihadiri oleh Nazri.

Persidangan itu telah dirasmikan oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Dalam ucapannya itu, Ambiga berkata, krisis pada 1988 telah menghakis kenyakinan rakyat terhadap badan kehakiman dan menegaskan pentingnya ia ditangani.

Bagaimanapun, Nazri memberitahu pemberita, tanggapan bahawa kepercayaan rakyat kepada badan kehakiman telah terhakis, adalah satu persepi.

"Itu persepsi mereka yang tidak mestinya sama dengan saya. Apa (yang dimaksudkan dengan) rakyat? Adakah ia bermakna 1,000 hingga 2,000 orang atau seluruh rakyat? Kita menghormati pandangan-pandangan tetapi kerajaan juga mempunyai persepsinya sendiri," katanya.

"Mereka (Majlis Peguam) bercakap dari sudut pandangan perundangan (tetapi) kita (kerajaan) mentadbir sebuah negara. Kita melihat dari atas puncak bukit dan mereka melihat (dari) kedudukan mereka," katanya.

Lindungi nilai-nilai sejagat

Ambiga juga menggesa supaya dimasuhkan undang-undang yang membenarkan penahanan tanpa bicara, pembatalan pengisytiharan darurat dan Ordinan Darurat.

"Majlis ini mengambil pendirian bahawa undang-undang berkaitan dengan penahanan tanpa bicara mesti dimansuhkan, selaras dengan ikrar negara untuk melindungi nilai-nilai sejagat dalam semua aspek pembangunan negara," katanya.

Ambiga berkata, kuasa untuk menahan tanpa bicara masih kekal sebagai satu pengecualian kepada norma-norma sebuah masyarakat yang adil, saksama dan demokratik.

Undang-undang tersebut termasuk Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah) 1969, Akta Dadah Merbahaya (Langkah Pencegahan Khas) 1985 dan Akta Kediaman Terhad 1933.

Ambiga juga menggesa supaya dimansuhkan Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984 kerana ia "tidak lagi berguna lagi".

"Kita hidup dalam zaman internet sekarang. Jadi tiada gunanya mengawal akhbar jika berita akan mudah disiarkan melalui dunia siber," katanya kepada 700 perwakilan yang menghadiri persidangan tersebut.

Mengulas cadangan tersebut, Nazri menegaskan bahawa undang-undang tersebut masih diperlukan untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan negara ini.

"Ada undang-undang yang dianggap sudah lapuk tetapi keamanan dan kestabilan yang anda nikmati hari ini adalah kerana [...] hakikat bahawa kita telah menghalang sesetengah pihak daripada membangkitkan isu-isu yang emosional dan berunsur perkauman," jawabnya.

Kerana itulah, tegas Nazri, negara masih memerlukan undang-undang berkenaan.

Ditanya sama ada tempoh perkhidmatan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim akan disambung, Nazri berkata, beliau belum mendengar apa-apa mengenainya.

"Saya belum mendengar apa-apa (mengenainya). Anda boleh bertanya Perdana Menteri malam ini (ketika menghadiri majlis makan malam)," tambahnya.

Tanggapan rakyat penting

Ketika merasmikan persidangan tersebut, Sultan Azlan Shah berkata, tanggapan rakyat terhadap badan kehakiman adalah penting.

Menurut baginda, kualiti utama yang perlu ada pada badan kehakiman adalah kesaksamaan.

Katanya, ini bermakna para hakim bukan sahaja bebas dari sebarang pengaruh luar tetapi juga bebas dari pengaruh sesama mereka.

Pada satu ketika, baginda telah tersasul dalam titahnya apabila berkata terdapat 'peguam yang baik dan hakim yang tidak baik', sedangkan apa yang baginda maksudkan adalah 'peguam yang tidak baik'. Sambil tersenyum, baginda memperbetulkan titahnya itu.

Titah baginda lagi, para hakim juga mesti mengelak daripada bercampur dengan personaliti dunia perniagaan dan mereka yang mempunyai kaitan rapat dengan pihak atasan.

Sultan Azlan Shah bertitah, masanya sudah tiba bagi negara melakukan pembaharuan besar dalam struktur dan prosedur mahkamah perdagangan untuk bersaing dengan negara-negara lain.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membatalkan kehadirannya di majlis perasmian persidangan tersebut pagi tadi pada saat-saat akhir, untuk merasmikan projek Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Beliau bagaimanapun dijadual akan menyampaikan ucaptama di majlis makan malam yang diadakannya untuk para perserta persidangan undang-undang hari ini.

Persidangan tiga hari itu yang bertemakan '50 tahun Kemerdekaan', akan membincang tajuk-tajuk yang antaranya menyentuh tentang Perlembagaan Persekutuan, sistem perundangan negara selepas 50 tahun, hak penduduk asal dan kebebasan bersuara melalui hasil seni, kebebasan maklumat dan peranan Asean di Burma. Berita asal