Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pesta Songkran kecoh gara-gara pistol kehabisan air
Diterbitkan:  Apr 22, 2025 4:06 PM
Dikemaskini: 8:15 AM

Keriangan sambutan perayaan Songkran di sebuah pusat beli-belah di Damansara, Selangor, bertukar suasana apabila tercetus pergaduhan menyaksikan penumbuk dan kerusi berterbangan.

Insiden pergaduhan itu sempat dirakam lensa kamera dan videonya menjadi tular di media sosial.

Kini, pihak polis mendedahkan pergaduhan itu tercetus berpunca daripada isu pistol air.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Shahrulnizam Ja'afar, berkata lima individu berusia antara 20-an dan 30-an ditahan bagi membantu siasatan.

“Polis berjaya menahan lima individu yang terlibat dengan pergaduhan itu.

“Kejadian dikatakan berpunca daripada perebutan semasa mengisi air untuk pistol air yang digunakan dalam pesta tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Shahrulnizam kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu kerana merusuh menggunakan senjata.

Jika sabit kesalahan, seseorang boleh dihukum penjara selama tempoh sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS