Kes Altantuya: Hakim 'resah' bahan letupan di mahkamah
Bahan letupan yang dibawa ke Mahkamah Tinggi di sini yang mendengar kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu hari ini membuatkan Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yassin beberapa kali bertanya bagaimana untuk menyimpannya bagi mengelak sesuatu yang tidak diduga berlaku.
Bahan letupan yang dibawa ke Mahkamah Tinggi di sini yang mendengar kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu hari ini membuatkan Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yassin beberapa kali bertanya bagaimana untuk menyimpannya bagi mengelak sesuatu yang tidak diduga berlaku.
Sebelum itu, beliau diberitahu oleh Timbalan Pendakwaraya Noorin Badaruddin bahawa alat peletup elektrik yang disambung bersama dua utas wayar putih amat sensitif dan tidak boleh disentuh sembarangan atau dihentak.
Ketika prosiding, Mohd Zaki meminta alat itu dipisahkan dengan bahan letupan lain dan dialihkan ke arah yang lain, dan ketika itu beliau mencadangkan ia diletak berhampiran Timbalan Pendakwaraya Tun Abdul Majid Tun Hamzah, demikian menurut laporan Bernama.
Ketua Unit Senjata Api Dan Kesan Alat di Seksyen Kriminalistik, Bahagian Forensik, Jabatan Kimia Petaling Jaya, Shaari Desa, 40, memberitahu mahkamah bahawa barang kes itu boleh menghasilkan letupan sekiranya ia berada hampir dengan telefon bimbit dan disimpan dalam keadaan panas.
"Mahkamah tidak mempunyai tempat yang sesuai untuk menyimpan barang kes ini tetapi ia dah jadi barang kes, kita akan simpan juga di sini," katanya pada hari ke-53 perbicaraan melibatkan dua anggota Unit Tindakan Khas, C/Insp Azilah Hadri, 31 dan Kpl Sirul Azhar Umar, 36, yang dituduh membunuh Altantuya, 28, antara 10 malam 19 Oktober tahun lepas dan 1 pagi keesokannya, di satu kawasan di Bukit Raja dekat sini.
Penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda, 47, dituduh bersubahat dengan mereka. Ketiga-tiganya boleh dihukum mati jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Shaari, saksi ke-40 pendakwaan telah menandakan 70 barang kes yang diterimanya daripada pegawai penyiasat ASP Tonny Lunggan pada 17
November tahun lepas untuk dianalisis.
Barang kes
Shaari berkata beliau turut menerima sepucuk submesingan HK-MP5SD tanpa magazin dan terdapat penyerap bunyi (silencer) dipasang pada penghujung
laras.
Barang kes yang diterimanya termasuklah satu kelonsong peluru 9mm, magazin tanpa peluru, 20 butir peluru hidup, wayar, cebisan kepingan getah
warna hitam, penyalut wayar dan dawai.
Beliau juga menerima satu bekas berupa keratan tiub logam bersegi dan berongga yang mengandungi serbuk putih dan satu bekas berisi wayar peledak
letupan.
Turut diterimanya tujuh paket sampel tanah yang diambil di tempat kejadian, beberapa spesimen tulang dan beberapa gumpal rambut.
Shaari berkata ketika menerima barang kes itu, ia berada dalam keadaan baik dan mempunyai penandaan dari Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya selepas menerima barang kes itu beliau menyimpannya dalam kabinet berkunci yang terletak di dalam bilik kebal, seksyen kriminalistik dan hanya beliau sahaja mempunyai kunci kabinet itu manakala kunci bilik kebal dipegang oleh Ketua Unit Kriminalistik, Rosnah Awang.
Shaari berkata bahawa pada 24 November tahun lepas beliau menyerahkan sebahagian daripada rambut (barang kes) kepada ahli kimia, J. Primulapathi setelah diminta olehnya bagi tujuan analisis.
Perbicaraan disambung Isnin depan.

