Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bersedia menemui jawatankuasa Majlis Peguam Malaysia untuk mengadakan perbincangan mengenai memorandum menggesa penubuhan suruhanjaya diraja untuk menyiasat 'klip video Lingam' dan keadaan dalam badan kehakiman serta saranan penubuhan suruhanjaya pelantikan kehakiman.

Memorandum tersebut diserahkan kepada Pejabat Perdana Menteri, melalui Setiausaha Politiknya, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, selepas kira-kira 2,000 peguam mengadakan perarakan dari Istana Keadilan ke Jabatan Perdana Menteri di Putraja, pada 26 September lalu.

Semasa menyampaikan ucaptamanya di Persidangan Undang-undang Malaysia ke-14 di ibunegara malam tadi, Abdullah memberitahu Presiden Majlis Peguam, S Ambiga bahawa beliau bersedia menemui jawatankuasa majlis tersebut secara bertutup tidak lama lagi untuk berbincang mengenai memorandum tersebut.

"Saya tahu memo itu mengambil masa yang lama (untuk sampai kepada saya) dan semua peguam menunggu dalam hujan di pejabat saya. Kita akan adakan perbincangan, Amiga, anda dan jawatankuasa anda," kata Perdana Menteri sambil menambah bahawa adalah lebih baik beliau mengadakan pertemuan dengan jawatankuasa itu sahaja.

Kerajaan telah menubuhkan sebuah panel bebas untuk menyiasat kesahihan klip video perbualan telefon peguam Datuk VK Lingam, didakwa dengan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz, mengenai pelantikan hakim-hakim pada tahun 2002. Ketika itu Ahmad Fairuz merupakan Hakim Besar Malaya.

Sementara itu, Bernama melaporkan, bahawa dalam ucapantamanya itu, Abdullah mengingatkan bahawa Majlis Peguam mesti mengutamakan kepentingan negara dalam membuat sesuatu pendirian dan bukan hanya bagi sebarang kumpulan pendesak atau sesetengah anggotanya.

"Sebagai contoh, apabila Majlis Peguam secara rasmi menyokong penghakiman yang dipertikaikan atau mengemukakan pandangannya bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular, Majlis Peguam mestilah mengambilkira dengan tidak mewakili pandangan sesetengah kelompok masyarakat saja," katanya.

Timbulkan jurang

Beliau berkata sebarang salah perhitungan dalam perkara ini boleh menimbulkan jurang antara kumpulan berlainan di negara ini.

"Ini membuka Majlis Peguam itu kepada tuduhan yang boleh menyebabkan kemudaratan yang besar, bukan hanya kepada Majlis Peguam sebagai sebuah badan profesional, tetapi juga kepada negara," kata beliau.

Abdullah berkata sebagai sebuah badan di mana pandangan sangat dihormati bukan hanya dalam tempatan tetapi juga antarabangsa, Majlis Peguam mestilah mengiktiraf akibat tindakannya itu.

"Berkaitan dengan perarakan anggota Majlis Peguam di Putrajaya, saya mengambil pandangan satu demonstrasi awam bukanlah seperti mana-mana acara sosial awam yang lain.

"Demonstrasi memberikan anggapan bahawa satu masalah telah sampai kepada satu kebuntuan yang tidak dapat dielakkan, walaupun, dalam realiti, ia bukanlah (begitu)," katanya.

Abdullah berkata ia juga menghantar suasana negatif yang tidak formal kepada pelabur tempatan dan asing, melemahkan usaha sektor industri dan kerajaan dalam menarik pelaburan dan seterusnya mewujudkan dan menyediakan peluang ekonomi baru.

"Masa depan negara bergantung kepada antara lain kestabilan politik dan keamanan sosial yang dipulihara sejak beberapa tahun, dan "pengwujudan persepsi negatif, melalui tuduhan umum yang tidak berasas," kata beliau.

Persepsi yang merosakkan

Perdana Menteri berkata "persepsi yang merosakkan" dalam persekitaran dunia yang kompetitif yang kian meningkat.

"Kita mesti sentiasa mengambil pandangan bahawa ketidak sefahaman boleh ditangani dalam banyak cara. Kerajaan bukan hanya sanggup, tetapi serius dalam menangani pandangan mereka dalam bidang perundangan, yang mana Majlis Peguam adalah sebahagiannya," kata beliau.

Abdullah berkata satu cara yang lebih konstruktif sedang dijalankan dengan ikhlas dan tanpa pra-syarat, serta, tanpa syak wasangka antara satu sama lain.

Kerajaan mengambil perhatian pandangan yang dilahirkan oleh Majlis Peguam dengan seriusnya, dan "seperti Majlis itu, kita percaya dalam kebebasan kehakiman dan berpegang teguh dengan keagungan Perlembagaan."

Memperbaiki perkhidmatan kehakiman, pembasmian rasuah dan meningkatkan pencapaian sektor awam juga antara keutamaan nasional kerajaan, kata

beliau.

Perdana Menteri berkata beliau tidak menafikan terdapatnya tidak kesempurnaan dan cabaran yang negara hadapi, "sementara kita masih ada jalan, mereka dalam bidang ini janganlah bertindak secara tidak kewarasan atau pesismistik mengenai kemajuan negara yang telah dicapai."

Abdullah berkata terdapat banyak peluang yang boleh diteroka bersama dan dengan satu tujuan yang sama, bukan hanya untuk pembangunan sosio-politik di negara tetapi juga untuk memajukan lagi ekonomi negara.

Bantu anggota

Beliau berkata firma guaman hendaklah menjual perkhidmatan mereka pada peringkat antarabangsa, dan selaras dengan langkah kerajaan dalam mempromosikan pertumbuhan sumber baru, misalnya perkhidmatan kewangan Islam, mereka dalam bidang ini digalakkan untuk memajukan kepakaran perundangan dalam bidang ini.

Dengan berbuat demikian, mereka mampu mengambil peluang yang sama yang ditawarkan yang telah dilakukan oleh sektor profesional lain, kata beliau.

"Peluang perniagaan baru dan kemasukan penggerak global yang besar dan canggih dalam industri dan kawasan pertumbuhan yang dirancang, seperti Wilayah Pembanguan Iskandar (WPI) memerlukan firma perundangan kita yang mempunyai kapasiti dan kemampuan untuk memenuhi permintaan dan harapan yang meningkat," kata beliau.

Abdullah juga mencadangkan bahawa Majlis Peguam, yang mempunyai lebih 12,000 anggota dan sedang bertambah pada 10 hingga 12 peratus setahun, sepatutnya membantu anggotanya, terutamanya bagi firma kecil dan sederhana, untuk memajukan kemahiran perniagaan dan kepakaran perundangan, termasuk aplikasi antarabangsa bagi membolehkan mereka bersaing dengan firma tempatan yang besar yang telah membentuk satu pakatan dengan syarikat asing yang utama.

Beliau juga berkata terdapat keperluan untuk strategi dan program bagi memastikan bahawa peguam Malaysia adalah lebih baik untuk memahami dan memenuhi perminatan yang lebih dan persekitaran perundangan global yang sentiasa berubah.