Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan (CCID), Datuk Pahlawan Ramli Yusuff hari ini mendedahkan bahawa beliau adalah pegawai kanan polis yang sedang disiasat berhubung dakwaan tidak mengisytiharkan harta bernilai RM27 juta.

"Walaupun nama pegawai tersebut tidak disebut, tetapi ia sudah diketahui umum bahawa saya adalah pegawai yang dimaksudkan dalam berita yang telah disensasi itu," kata Ramli dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini pihak media melaporkan seorang pegawai kanan polis yang tidak disebut namanya, sedang disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung dakwaan salahguna kuasa dan gagal mengisytiharkan hartanya.

Laporan media itu juga mendakwa bahawa pegawai berkenaan gagal mengisytiharkan kedudukannya sebagai pengarah dalam sebuah syarikat dan dia didakwa telah mengumpulkan harta bernilai RM27 juta secara haram.

Difahamkan, Ramli telah diarah mengisytiharkan hartanya. Beliau berbuat demikian pada 19 September lalu kepada seorang timbalan pendakwaraya BPR.

Pengumuman Ramli itu dibuat dalam satu sidang akhbar di ibupejbat CCID di Bukit Perdana, Kuala Lumpur hari ini.

Dalam kenyataan tiga muka surat itu, Ramli juga membuat beberapa dakwaan termasuk para pegawai CCID telah dianiayai oleh BPR dan mereka tidak diberi perlindungan oleh pasukan polis sendiri.

Perintah buang daerah

Dalam kenyataannya itu, Ramli berkata beliau telah berdiam diri sehingga hari ini berhubung perkembangan dalam pasukan polis, terutama berhubung tangkapan dan pendakwaan terhadap pegawai-pegawai CCID yang didakwa telah memalsukan kenyataan pemberi maklumat berhubung perintah buang daerah terhadap Goh Cheng Poh @ Tengku.

Menurutnya, sebuah jawatankuasa bersama dan sebuah pasukan khas, masing-masing ditubuhkan di peringkat kabinet dan Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun lalu untuk membanteras kegiatan Along dan perjudian haram.

Pada bulan Mac 2007, katanya, Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri telah memberi arahan-arahan khusus kepada CCID berhubung kegiatan sindiket-sindiket jenayah tertentu yang beroperasi di Johor, yang membabitkan beberapa orang Datuk dan JP.

Menurutnya, siasatan yang dijalankan oleh CCID telah membawa kepada penahanan dan perintah buang daerah terhadap Goh Cheng Poh @ Tengku, ke Jeli Kelantan.

Perintah penahanan dan buang daerah itu, kata Ramli, dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri berdasarkan kepada hasil risikan yang dikumpulkan para pegawai CCID.

Menurut Ramli lagi, Goh pernah dibuang daerah sebelum ini dan pernah terbabit dalam satu kejadian tembak menembak di mana seorang rakannya telah ditembak dan dibunuh.

Sebab perintah buang daerah di keluar terhadap Goh, tambahnya, adalah perkara di dalam bidangkuasa dan budibicara Timbalan Menteri Dalam Negeri dan, oleh itu, beliau tidak boleh mengulas mengenainya.

Laporan media

Tidak lama selepas perintah buang daerah itu dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, pihak akhbar telah melaporkan bahawa BPR dan CCID telah menyiasat dan membersihkan Goh dari sebarang kesalahan.

Dan ini, tambah Ramli, tidak termasuk siasatan CCID terhadap kegiatan Goh sepertimana yang diarahkan oleh Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri.

Selepas tersiarnya laporan media itu, katanya, Goh telah memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk mengenepikan perintah buang daerah yang dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri tehadapnya.

Menurut Ramli lagi, dalam satu tindakan yang tidak pernah berlaku sebelum ini, Penasihat Undang-undang Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, seorang pegawai Pejabat Peguam Negara, enggan memberi nasihat dan sebaliknya mengarahkan beliau dan pegawainya menyediakan afidavit mengenai kertas siasatan terhadap Goh.

Afidavit tersebut, tambahnya, adalah untuk difailkan di mahkamah ekoran permohonan Goh untuk mengenepikan perintah buang daerah terhadapnya.

Ekoran kesuntukan masa, kata Ramli, pegawai CCID terpaksa mendapatkan nasihat perundangan daripada sebuah firma guaman yang kemudiannya membantu mereka menyediakan draf afidavit tersebut.

Menurut Ramli lagi, beliau dan pegawainya kemudiannya diarahkan supaya menyerahkan fail-fail sulit kes yang mengandungi nama-nama pemberi maklumat, kepada Pejabat Peguam Negara.

Siasatan BPR

Katanya, beliau mendapat tahu bahawa pegawai-pegawai BPR telah mengesan pemberi maklumat dan mengambil kenyataan mereka.

Kemudiannya, tambah beliau, pemberi maklumat tersebut telah membuat kenyataan selanjutnya berhubung permohonan mereka untuk mendapatkan perlindungan dari Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri.

Ketika semua itu berlaku, katanya, pihak media telah melaporkan secara meluas mengenai pembabitan seorang pegawai kanan polis dalam perkara-perkara berikut:

- Siasatan oleh BPR terhadap pengumpulan harta yang didakwa bernilai RM27 juta;

- BPR menyiast seorang pegawai kanan polis yang menjadi pengarah/pemegang saham sebuah syarikat di Sabah tanpa mendapat kelulusan pihak jabatannya; dan

- Menyiasat kes salahguna kuasa oleh CCID dalam tindakan pencegahan jenayah berhubung penahanan dan perintah buang daerah terhadap Goh Cheng Poh @ Tengku.

Menurut Ramli lagi,walaupun nama pegawai berkenaan tidak disebut, tetapi ia telah menjadi pengetahuan umum bahawa beliau adalah pegawai yang dimaksudkan dalam berita-berita yang telah disensasi itu.

Katanya, beliau difahamkan bahawa seorang pegawai BPR yang bernama Sok One a/i Esen, telah memfailkan satu afidavit dalam prosiding yang difailkan oleh Goh untuk mengenepikan perintah buang daerah terhadapnya.

Dalam afidavit tersebut, katanya, Sok One mengesahkan bahawa BPR sedang menyiasat CCID berhubung dakwaan Goh bahawa para pegawai CCID telah menyalahgunakan kuasa mereka.

'Pegawai CCID dianiaya'

Menurut Ramli lagi, sehari sebelum Hari Raya, seorang rakan lamanya yang juga menjadi penasihat undang-undangnya telah ditangkap dan didakwa kerana gagal mematuhi satu notis arahan ke atas yang dikeluarkan oleh BPR.

Katanya, salah seorang pegawai yang hadir pada masa rakannya ditangkap dan ditahan adalah Sok One.

Rakannya itu juga, kata Ramli, turut membantu para pegawai CCID menyediakan afidavit yang difailkan dalam prosiding berhubung dengan kes Goh.

Dalam tempoh seminggu, tambahnya, beberapa pegawai CCID telah ditangkap dan didakwa di mahkamah atas dakwaan memalsukan bukti berhubung perintah buang daerah terhadap Goh.

Katanya, dalam kertas tuduhan, nama-nama pemberi maklumat telah didedahkan.

Menurut Ramli, beliau memandang berat terhadap cara identiti pemberi maklumat polis ditangani dalam siasatan yang dijalankan oleh BPR.

Beliau mendakwa, identiti pemberi maklumat tersebut diperolehi tanpa melalui Perintah Tetap Ketua Polis Negara.

Berdasar apa yang telah berlaku itu, katanya, wujud bahaya yang jelas terhadap kemampuan risikan pasukan polis dan kemampuannya untuk melindungi pemberi maklumat mereka.

Ramli menyifatkan apa yang berlaku sebagai sesuatu yang membimbangkan dan tidak dapat dinafikan akan memberi kesan yang besar, bukan sahaja kepada CCID tetapi juga kepada pasukan polis keseluruhannya.

Beliau juga mendakwa bahawa para pengawai CCID telah dianiaya oleh BPR dan malah mereka juga tidak mendapat sebarang sokongan daripada PDRM sendiri.

Ramli mengakhiri kenyataannya itu dengan menyatakan bahawa beliau akan berlepas untuk mengerjakan umrah Khamis ini dan menyuarakan harapannya agar isu tersebut dapat ditangani oleh Kementerian Keselamatan Dalam Negeri.

Ramli nafi

Sementara itu, dalam sidang akhbarnya, Bernama melaporkan, Ramli berkata beliau telah membuat pengisytiharan harta kepada BPR semasa disiasat berhubung perkara tersebut, namun beliau menafikan sebarang dakwaan memiliki aset bernilai RM27 juta.

Selain itu, menurutnya beliau turut membuat penjelasan berhubung tanah yang kononnya dipohon di Sabah.

"Saya memohon mengikut saluran yang betul seperti orang biasa tetapi tanah tersebut bukan milik saya lagi," katanya kepada pemberita dalam satu persidangan akhbar di pejabatnya di ibunegara hari ini. Sebelum itu Ramli tidak membenarkan wartawan Malaysia mengikuti sidang akhbar tersebut.

Beliau mendakwa tanah itu dipohon syarikat perkongsiannya dengan seorang bekas pegawai kanan tentera dan beliau mendapat kebenaran bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Bakri Omar untuk memiliki saham dan menjadi pengarah syarikat berkenaan.

Minggu lalu, sebuah akhbar tempatan yang memetik satu sumber melaporkan bahawa seorang pegawai kanan polis Bukit Aman disiasat BPR kerana disyaki menyalahguna kuasa dan gagal mengisytiharkan harta bernilai kira-kira RM27 juta.

Ramli seterusnya menyatakan kekesalannya apabila siasatan BPR ke atasnya disebarkan media, dan menurutnya tindakan mendedahkan siasatan yang dijalankan ke atas seorang penjawat awam ketika siasatan masih dijalankan, merupakan perbuatan yang menyalahi peraturan.

"Pelanggaran di bawah Sesyen 21 (4) Akta BPR, di mana perkara-perkara sebegini tidak boleh terlepas keluar kerana masih dalam siasatan. Ini tidak adil bagi saya," katanya.

Transkrip soal jawab pemberita dengan Ramli:

RAMLI: Terdahulu saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya kepada mereka yang beragama Islam. Sudah lama saya tidak buat kenyataan akhbar, jadi saya rasa eloklah sekali-sekala buat sidang akhbar.

Mungkin tuan-tuan dan puan-puan tertanya-tanya siapakah pegawai yang selalu keluar dalam surat khabar mengatakan mempunyai aset sebanyak RM27 juta.

Jadi hari ini saya mengaku bahawa pegawai yang dimaksudkan itu ialah saya. Saya rasa pegawai-pegawai saya pun tertanya-tanya siapa yang dimaksudkan, saya tak malu-malu atau segan beritahu sayalah pegawai yang dimaksudkan.

Bagaimanapun, saya telah membuat pengisytiharan rasmi kepada pihak Badan Pencegah Rasuah (BPR). Mengikut rekod, apa yang telah dibuat secara rasmi oleh akauntan, punca pendapatan saya melebihi aset yang saya dapat selama saya bertugas 38 tahun dalam pasukan polis.

Jadi, terpulanglah kepada BPR untuk membuat penilaian. Tetapi nak kata saya memiliki RM27 juta, tidak betullah. Ini rekod.

Jika saya membuat pengisytiharan yang tak betul, itu adalah satu kesalahan. Tetapi notis yang diserahkan kepada saya adalah di bawah Seksyen 32 (1) (a) Akta Pencegahan Rasuah. Notis ini betul-betul sulit antara saya sebagai pegawai yang ditohmah dengan pihak BPR.

Saya tidak tahu bagaimana maklumat ini boleh terkeluar atau 'bocor', tapi mengikut laporan akhbar mengatakan sumbernya daripada BPR. Ini satu pelanggaran di bawah Seksyen 21 (4) Akta Pencegahan Rasuah. Perkara seumpama ini tidak sepatutnya dibocorkan, mereka sepatutnya menyiasat saya secara terperinci barulah membuat andaian.

Mengenai tanah yang saya pohon, ini belum tanah saya lagi, kami perlu menjelaskan perkara ini. Tanah yang saya pohon di Sabah, adalah tanah kerajaan. Saya membuat permohonan seperti biasa, seperti orang biasa. Jadi apabila diura-urakan kami nak dapat, saya mendapat kelulusan jabatan saya iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM). Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Bakri Omar telah secara lisan membenarkan saya memiliki saham dan menjadi pengarah syarikat.

Syarikat tersebut ialah syarikat persendirian yang kami beli. Untuk makluman, pengarah-pengarahnya ialah saya dan seorang rakan bekas jeneral bersara. Tawaran mengerjakan tanah itu seluas 800 ekar, bermakna 400 ekar kepada saya dan 400 kepada rakan saya itu.

Premium yang kami bayar baru separuh, kami bayar RM500 seekar, jadi bandingkan apa yang dilaporkan dalam surat khabar mengatakan syarikat tersebut adalah syarikat pemaju yang besar adalah palsu semata-mata.

Kalau dikira, cuma RM400,000. Tanah tersebut masih belum kepunyaan saya kerana pertama, kerja ukur tanah belum dijalankan dan geran belum dikeluarkan, jadi tanah tersebut belum hak milik kami lagi.

Bagaimanapun, apa yang berlaku hari ini adalah ekoran saya diberi notis oleh BPR pada 17 Julai 2007.

Untuk makluman, saya telah diarahkan oleh Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri untuk menyiasat kes-kes Ah Long di Malaysia. Saya telah dilantik sebagai pengerusi pasukan khas membanteras ah long di Malaysia. Saya diarahkan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Johari Baharum secara bertulis. Jadi saya telah mengarahkan anggota saya untuk menjalankan siasatan dan membuat perkara perlu.

Bagaimanapun, selepas siasatan dijalankan timbul masalah lain yang mana melibatkan kes perjudian. Jadi saya menggunakan kuasa-kuasa yang ada pada pasukan PDRM untuk menjalankan tugas. Tidak semestinya saya bukan orang Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), saya tak boleh siasat kes-kes yang melibatkan kes Ah Long atau perjudian kerana kuasa masih ada dalam tangan saya untuk menyiasat.

Seperti tuan-tuan sedia maklum, JSJK dipisahkan daripada JSJ pada 1 Mei 2005. Jadi kita tak ada lagi Arahan Tetap Ketua Polis Negara, kita baru merangkakan. Jadi kita terpaksa memakai Arahan Tetap Ketua Polis Negara kepada JSJ. Sebab itu kita menggunakan kuasa-kuasa yang ada ke atas seorang personaliti di Johor Bahru.

Bagaimanapun, tiap-tiap pergerakan atau apa-apa yang kita buat, dimaklumkan kepada Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri. Kita diarahkan supaya meneruskan siasatan ke atas penama tersebut. Sehinggalah penama tersebut telah dibuang daerah ke Jeli, Kelantan.

Saya ingin mengedarkan kenyataan akhbar kepada anda. (Beliau kemudian membaca teks penuh kenyataan akhbar itu).

Seperti yang diketahui umum, dua hari lalu, Perdana Menteri menyatakan bahawa kita perlu melindungi pemberi maklumat polis. Saya fikir perlulah kita sebagai polis mempertahankan pemberi maklumat. Itulah pendirian saya.

Soalan: Adakah benar dakwaan khabar angin mengenai peletakan jawatan Datuk?

RAMLI: Tidak, tidak. Saya tidak akan meletak jawatan. Saya tidak perlu meletak jawatan. Saya cuma ada beberapa bulan lagi (sebelum bersara), tiada sebab untuk saya meletak jawatan. Cuma, saya akan mengerjakan umrah pada 3 November, insya-Allah kalau tiada halangan, saya juga menunaikan haji pada 8 atau 9 Disember selama 40 hari.

Adakah BPR sudah bebaskan Datuk dalam siasatan kes ini?

RAMLI: Tidak. Siasatan masih diteruskan. Saya masih menunggu pegawai BPR untuk datang dan interviu saya pada bila-bila masa saja. Saya boleh menjawab segala soalan mereka.

Berulang-ulang dalam surat khabar anda mengatakan itu dan ini (terhadap saya), sekarang saya terbuka. Biar kita terbuka. Sebelum ini, saya perlu berdiam diri kerana kes saya masih disiasat BPR, namun sekarang saya telah membuat pengisytiharan. Saya rasa tidak menjadi masalah untuk membuat lebih kenyataan akhbar.

Adakah semua ini melibatkan Ketua Polis Negara?

RAMLI: Tidak, tidak, tidak sama sekali. Anda semua keliru. Kami hanya menyiasat Goh Cheng Poh berdasarkan maklumat diterima. Itu saja. Ia langsung tiada kaitan dengan Ketua Polis Negara.

Adakah Datuk bermaksud BPR membocorkan maklumat?

RAMLI: BPR tidak boleh sekali-kali membocorkan maklumat siasatan terhadap mana-mana pegawai atau kakitangan awam. Mereka tidak boleh beritahu kepada siapa-siapa termasuklah pemberita atau media.

Sebab itulah (BPR) tidak adil kepada saya. Belum apa-apa lagi sudah keluar macam itu. Semua orang sudah tahu, orang menuding jari pada saya kononnya saya menerima atau memiliki RM27 juta. Saya fikir tidak adil sebelum disiasat, sudah menghukum saya dan buat andaian.

Bagaimanakah dakwaan terhadap Datuk memberi kesan terhadap kehidupan harian?

RAMLI: Memang. Memang. Kehidupan harian saya amat seksa dalam tiga bulan ini sejak bermulanya siasatan dan tersiarnya laporan akhbar itu. Akhbar tidak mendapatkan penjelasan saya. Mereka membuat kenyataan sesuka hati. Ini tidak adil.

Saya juga seorang insan, saya ada perasaan. Saya mempunyai keluarga. Satu lagi perkara, saya kumpulan pertama bekas penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Kami perlu mempertahankan tahap integriti kami. Malu, memang saya malu.

Adakah kes ini dimanipulasikan oleh media?

RAMLI: Saya tak tahu. Saya tidak tahu apa yang perlu diulas. Anda sendiri patut tahu apa yang telah anda lakukan.

Kenapa baru hari ini Datuk membuat kenyataan?

RAMLI: Saya memberi peluang BPR melakukan siasatan penuh terlebih dahulu. Saya mahu berlaku adil kepada mereka. Namun mereka pula yang tidak adil terhadap saya dengan membocorkan segala maklumat.

Bagaimana siasatan terhadap Datuk timbul? Adakah laporan polis dibuat oleh anggota polis sendiri?

RAMLI: Menurut notis kepada saya mengikut Seksyen 32 (1) (a), ia memberitahu bahawa ada satu laporan polis dibuat terhadap saya. Saya terkejut kerana sehingga September 2006, saya bebas daripada sebarang tuduhan rasuah. Sebab itu saya disahkan jeneral tiga bintang (komisioner). Kalaulah saya disiasat sebelum itu, pastilah saya tidak akan mendapat pangkat tersebut.

Tetapi ketika saya hampir menerima Pingat Gagah Pasukan Polis (PGPP), iaitu anugerah tertinggi dan diidam-idamkan dalam pasukan polis, pemberian pingat itu kepada saya telah dibatalkan. Ini kerana difahamkan saya disiasat BPR.

Adakah laporan terhadap Datuk dibuat oleh pegawai bawahan Datuk sendiri?

RAMLI: Itu saya tak pasti. Anda kena tanya BPR?

Bagaimanakah hubungan Datuk dengan Ketua Polis Negara?

RAMLI: Kami berdua amat baik. Kami sangat erat dan tiada masalah antara kami. Kami bekerjasama untuk satu tempoh yang lama. Tiada sebarang masalah dengannya. Kami saling menghormati.

Datuk, adakah Datuk mula disiasat sejak Datuk menyiasat kes Goh Cheng Poh?

RAMLI: Ya, saya percaya begitu. Disebabkan penyiasatan ke atas Goh Cheng Poh, saya pula disiasat. Selepas itu, beberapa pegawai termasuk penterjemah. Yang terbaru dua pegawai dan detektif ditahan serta didakwa.

Mungkinkah siasatan terhadap Datuk bermula selepas pegawai Datuk memulakan siasatan terhadap kes Ah Long?

RAMLI: Entahlah. Saya tak tahu bila BPR mula menyiasat saya. Tapi setahu saya, sehingga September 2006 saya masih bersih daripada segala tuduhan. Kalau tidak, tak mungkin saya disahkan jeneral tiga bintang.