Ibu Pejabat Umno tidak akan mengeluarkan pas kepada blogger untuk membuat liputan Perhimpunan Agung Umno yang bermula minggu depan.

Jurucakap bahagian media Ibu Pejabat Umno berkata, pihaknya juga tidak mengeluarkan pas kepada media yang tidak mempunyai kad perakuan akhbar yang dikeluarkan Jabatan Penerangan.

Katanya, tahun ini merupakan kali pertama ibu pejabat parti mengenakan syarat pemohonan untuk mendapatkan pas perlu disertakan dengan kad perakuan akhbar.

"Kami berbuat demikian kerana mendapati terlalu banyak blogger yang menulis dalam blog masing-masing.

"Blogger bukan media, jadi kami tidak perlu untuk membenarkan mereka membuat liputan seperti wartawan-wartawan lain," katanya.

Pas yang dikeluarkan Ibu Pejabat Umno merupakan syarat bagi membolehkan wartawan membuat liputan perhimpunan agung Umno termasuk menghadiri sidang media dan masuk ke bilik media.

Kad perakuan akhbar

Katanya, permohonan yang tidak disertakan dengan kad perakuan akhbar tersebut tidak akan dilayan.

Perhimpunan Agung Umno akan bermula Isnin ini, yang bermula dengan perhimpunan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri yang akan dirasmikan oleh Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pada sebelah malamnya.

Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pula akan merasmikan perhimpunan agung Umno pada jam 9 pagi Rabu.

Seramai 2,522 perwakilan dari seluruh negara akan menghadiri perhimpunan tahun ini, dan 57 perwakilan dari 68 kelab Umno luar negara telah mengesahkan kehadiran mereka.

Ibu Pejabat Umno juga mengundang 31 parti politik dari luar negara untuk menghadiri perhimpunan kali ini.

Parti itu juga mengambil keputusan untuk tidak mengadakan siaran langsung sepanjang perhimpunan kali ini