Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail mengesahkan bahawa siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR) terhadap seorang pegawai kanan polis yang didakwa tidak mengisytiharkan harta bernilai jutaan ringgit, sudah selesai.

Katanya BPR sudah menyerahkan laporan berhubung siasatan itu kepada Pejabat Peguam Negara dan beliau telah berbincang dengan para pegawai kanannya mengenai kes tersebut.

"Saya berpuas hati dengan kertas siasatan yang dikemukakan oleh BPR, dan tidak perlu lagi jabatan itu untuk menyiasat lebih lanjut kes ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan sebuah buku yang ditulis oleh Anggota Parlimen Kota Bharu, Datuk Mohamad Zaid Ibrahim, di ibunegara hari ini.

Abdul Gani enggan mengulas semasa ditanya sekiranya pagawai kanan polis itu akan dihadapkan ke mahkamah tidak lama lagi, demikian menurut laporan Bernama.

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan ketika ditemui, enggan mengulas mengenai siasatan BPR itu.

"Saya tidak boleh membuat sebarang ulasan berhubung perkara ini. Ia membabitkan pihak berkuasa dari agensi lain," katanya ketika ditemui pemberita selepas Persidangan ke-14 Perundangan Malaysia hari ini.