Hanya RTM boleh siar secara langsung ucapan presiden Umno
Siaran langsung ucapan perasmian dan penutupan Perhimpunan Agung Umno akan hanya disiarkan oleh rangkaian televisyen Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Siaran langsung ucapan perasmian dan penutupan Perhimpunan Agung Umno akan hanya disiarkan oleh rangkaian televisyen Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Timbalan Menteri Penerangan Datuk Ahmad Zahid Hamidi berkata hanya RTM diberi hak mengadakan siaran secara langsung ucapan Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 7 dan 9 November depan.
Manakala sedutan rakaman ucapan para pemimpin lain dan ucapan-ucapan pada sesi perbahasan, akan disiarkan melalui berita atau laporan khas sepanjang perhimpunan Umno, katanya.
Beliau berkata, Majlis Tertinggi (MT) Umno memutuskan untuk tidak memberi hak kepada stesen berbayar Astro membuat siaran langsung sepanjang perhimpunan seperti yang dibuat tahun lalu, demikian menurut laporan Bernama.
Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh berkata keputusan itu dibuat kerana apabila persidangan disiarkan sepenuhnya secara langsung, ia didapati lebih banyak membawa keburukan daripada kebaikan.
Bagaimanapun menurutnya amalan membenarkan media cetak membuat liputan sepanjang perhimpunan itu tetap diteruskan.
Perbahasan perhimpunan agung Umno tahun lalu yang buat pertama kalinya disiarkan secara langsung oleh Astro, telah mendapat reaksi daripada masyarakat bukan Melayu termasuk pemimpin komponen Barisan Nasional.
Mereka menganggap sesetengah pembahas bertindak keterlaluan ketika membincangkan soal orang Melayu sehingga boleh menjejaskan perpaduan.
Antara perwakilan yang dikatakan mengeluarkan ucapan sedemikian adalah Ketua Penerangan Pemuda Umno, Datuk Azimi Daim; wakil Melaka, Hasnoor Sidang Hussein dan Hashim Suboh (Perlis).
Sehubungan itu, tiga perwakilan Umno, termasuk seorang Exco Pemuda, telah dipanggil oleh Jawatankuasa Pengurusan Umno untuk memberi penjelasan terhadap ucapan mereka itu.
Mereka telah diberi nasihat yang pedas dan keras oleh parti itu kerana membuat ucapan yang dianggap keterlaluan semasa perhimpunan tersebut.

