Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lawan naratif UmDAP: Umno mungkin berjaya, mungkin tidak - pemerhati

Tiga pemerhati politik memberikan pandangan berbeza terhadap saranan dibuat Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Ahmad Maslan, yang menggesa pemimpin peringkat akar umbi untuk mempertingkatkan penerangan dalam usaha menangkis naratif kononnya parti itu dikuasai DAP.

Gesaan Ahmad itu dibuat susulan dakwaan berterusan pihak pembangkang yang menuduh Umno kini menjadi ‘pak turut’ kepada parti komponen kerajaan perpaduan tersebut.

Pensyarah jurusan komunikasi di sebuah universiti awam, Raqib Sofian menjangkakan arahan Ahmad itu tidak akan memberi kesan signifikan terhadap persepsi penyokong tegar Umno, terutamanya di media sosial.

Kata Raqib, 36, jika melihat sentimen semasa di media sosial, ramai penyokong Umno menolak untuk bekerjasama dengan DAP dengan apa cara sekalipun. 

Malah, katanya, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh juga secara terbuka menempelak beberapa keputusan kerajaan yang dilihat sesetengah pihak sebagai tunduk kepada desakan DAP.

Tambah Raqib, usaha penerangan di peringkat akar umbi sukar diterima memandangkan asas penolakan terhadap DAP telah lama berakar dalam kalangan penyokong lama parti itu.

 “Saya tak nampak akar umbi akan percaya atau melakukan perubahan untuk menerima kerjasama dengan DAP,” katanya kepada Malaysiakini.

Ahmad Maslan

Baru-baru ini Malaysiakini melaporkan Ahmad berkata pemimpin di peringkat bahagian dan cawangan bertanggungjawab untuk memberi penjelasan kepada ahli masing-masing mengenai kedudukan parti itu dalam kerajaan.

Bekas Setiausaha Agung Umno itu menegaskan bahawa tidak benar Umno dikuasai atau perlu mengikut kehendak DAP seperti yang diuar-uarkan pembangkang.

Tambah Ahli Parlimen Pontian itu lagi, tuduhan pembangkang hanyalah untuk memainkan sentimen dan tidak berlandaskan fakta, manakala Umno membawa "naratif berasaskan kebenaran".

‘Akan terus jadi modal politik’

Sementara itu, penganalisis politik Faizal Kasmani melihat seruan Ahmad itu masih berpeluang memberi kesan, walaupun berdepan cabaran besar khususnya di media sosial.

Dia berkata usaha tersebut mungkin berjaya mengubah naratif pihak lawan Umno dan seterusnya didengari oleh akar umbi parti kerana menyentuh imej dan reputasi mereka. 

“Tetapi pihak pembangkang juga dipercayai akan terus menjadikan isu ini sebagai modal politik mereka untuk memomokkan gabungan kerajaan perpaduan dengan imej negatif,” katanya.

Pada masa sama, Faizal, 47, mengakui keyakinan akar umbi Umno tetap menjadi penentu utama terhadap sejauh mana keberkesanan naratif yang cuba dibina oleh pembangkang.

“Akhirnya, terpulang pada akar umbi sama ada mereka mahu percaya atau tidak,” ujarnya.

Pengarah Pusat Penyelidikan Dasar Universiti Sains Malaysia (USM) Azeem Farouk pula berpendapat reaksi akar umbi terhadap isu kerjasama Umno-DAP bercampur-baur dan sukar untuk dinilai secara jelas.

“Akar umbi Umno mungkin menyahut seruan ini kerana ia akan memberi keuntungan politik untuk mereka mempertahankan kerjasama itu, namun pembangkang sudah pasti akan terus menghidupkan sentimen tersebut sebagai senjata politik,” katanya.

Azeem turut merujuk kepada keputusan PRK Ayer Kuning sebagai contoh.

Katanya, berdasarkan keputusan PRK berkenaan – yang memihak kepada calon kerajaan – ia membuktikan bahawa masih wujud sokongan kuat terhadap Umno di kawasan-kawasan tertentu.

“Penyokong tegar mereka masih ada, namun diakui terdapat juga yang menolak kerjasama berkenaan. 

“Justeru sukar untuk kita memberi kenyataan yang konklusif sama ada akar umbi benar-benar menerima atau menolak sepenuhnya,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS