Harapan Anwar pada Majlis Raja-Raja dan Seri Paduka
Gesaan reformasi kehakiman yang dibuat oleh bekas Ketua Hakim Negara, Sultan Azlan Shah semalam begitu sesuai dan tepat pada masanya memandangkan Majlis Raja-Raja akan memutuskan minggu ini berhubung khidmat Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz, kata Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Gesaan reformasi kehakiman yang dibuat oleh bekas Ketua Hakim Negara, Sultan Azlan Shah semalam begitu sesuai dan tepat pada masanya memandangkan Majlis Raja-Raja akan memutuskan minggu ini berhubung khidmat Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz, kata Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Kredibiliti kehakiman Malaysia sudah berada di tahap yang paling rendah dalam sejarah 50 kemerdekaan negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mendakwa, fakta yang didedahkan dalam klip video perbualan telefon VK Lingam menunjukkan peguam, ahli perniagaan dan ahli politik mempengaruhi perlantikan hakim di peringkat tertinggi di negara ini.
Bekas timbalan perdana menteri itu berkata, reformasi kehakiman menyeluruh adalah sesuai dengan memulakan satu suruhanjaya bebas kehakiman untuk memantau perlantikan hakim.
"Saya menggesa Majlis Raja-Raja dan Yang di-Pertuan Agong, yang dijadualkan bersidang (esok), memastikan kedudukan Tun Ahmad Fairuz sebagai Ketua Hakim Negara tidak akan disambung selepas bulan ini.
"Permintaan Perdana Menteri, (Datuk Seri) Abdullah (Ahmad Badawi) kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melanjutkan perkhidmatan Fairuz menunjukkan kelemahan pemahaman beliau ke atas nilai integriti kepimpinan sebuah negara.
"Lantas ini perlu diubah demi kepentingan negara dan sistem kehakiman itu sendiri," tambah Anwar.
Anwar telah mendedahkan klip video tersebut pada 19 September lalu, yang menurutnya, merupakan bahagian pertama daripada rakaman selama 14 minit.
Cabar di mahkamah
Menurut, baki rakaman tersebut tidak boleh didedah kerana ia akan mendedahkan identiti pemberi maklumat tersebut.
Klip video itu menunjukkan perbualan telefon Lingam, didakwa Ahmad Fairuz mengenai pelantikan hakim-hakim yang 'sehaluan'.
Ahmad Fairuz, yang merupakan Hakim Besar Malaya ketika klip video itu dikatakan dirakam, telah menafikan sebarang pembabitannya, melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nazri Abdul Aziz.
Berikutan itu, Badan Pencegah Rasuah (BPR) telah memberi notis mengarahkan Anwar supaya menyerahkan versi penuh klip video tersebut.
Jika gagal berbuat demikian, Anwar boleh disabitkan di bawah Akta Mencegah Rasuah yang membawa hukuman dua tahun penjara atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.
Anwar adalah orang ketiga menerima notis arahan dari BPR. Sebelum ini, notis yang sama telah diterima oleh Naib Presiden PKR, R Sivarasa dan pembantu Anwar - Sim Tze Tzin - yang mengarahkan mereka mendedahkan sumber maklumat tersebut.
Bagaimanapun, kedua-duanya enggan berbuat demikian kerana bimbangkan keselamatan sumber klip video tersebut. Berita asal
Anwar kemudiannya memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa perintah mengemukakan dokumen di bawah Seksyen 22(1)(b) Akta Pencegahan Rasuah 1997 terhadapnya pada 22 Oktober lalu adalah tidak sah dan tidak mempunyai apa-apa kesan dari segi undang-undang.

