Lembaga Disiplin Umno tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap Naib Presiden, Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang dilaporkan telah meminta Parti Progresif Penduduk (PPP) keluar dari Barisan Nasional (BN) sekiranya tidak puas hati, khususnya mengenai pengagihan kerusi dalam pilihanraya umum akan datang.

Pengerusinya, Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail berkata, lembaga itu belum menerima sebarang laporan dari mana-mana ahli Umno berhubung kenyataan Mohd Ali itu.

Ketua Menteri Melaka itu dilaporkan mengeluarkan kenyataan tersebut ketika berucap merasmikan konvensyen PPP Melaka pada 15 Oktober lalu.

Beliau dilaporkan berkata: "PPP boleh keluar dari BN. Anda semua boleh keluar. Sama ada hari ini atau esok. Mengapa tunggu hingga pilihanraya umum? Apa hendak tunggu lagi?" kepada para hadirin termasuk Presiden PPP, Datuk M Kayveas. Beberapa ahli bertindak keluar dewan kerana membantah ucapan Mohd Ali itu.

Walaupun Jabatan Perdana Menteri telah menjalakan siasatan dalaman berhubung perkara itu, tetapi tiada tindakan diambil terhadap Mohd Ali.

Ahli Umno sahaja

Tengku Ahmad Rithauddeen berkata, hanya ahli Umno sahaja yang boleh memfailkan aduan kepada lembaga disiplin tersebut.

Menurut beliau, parti-parti komponen BN tidak dapat mengemukakan aduan terhadap umno atas tuduhan melanggar kod etika atau politik wang.

"Bidangkuasa lembaga ini hanya membenarkan ahli Umno membuat aduan. Belum ada lagi badan disiplin untuk BN," katanya dalam sidang akhbar di ibupejabat Umno di Kuala Lumpur hari ini.

Sewaktu konvensyen PPP Melaka itu, Mohd Ali telah meminta para wartawan supaya tidak melaporkan kenyataannya itu, yang menurutnya, hanya untuk perhatian perwakilan yang hadir sahaja.

Satu sumber PPP berkata, tingkah laku Mohd ALi itu akan dibincang dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno.

Dalam perhimpunan agung PPP pada 21 Oktober lalu, Kayveas memaklumkan mengenai perkara itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Datuk Seri, ini bertentang dengan Islam Hadhari," kata Kayveas dalam ucapannya kepada Abdullah yang hadir untuk merasmikan perhimpunan PPP itu.

Bagaimanapun, pejabat Ketua Menteri Melaka telah menafikan Mohd Ali telah membuat kenyataan tersebut. Berita asal