Ringkasan
Charles bukan lagi pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span).
Jawatan itu kini disandang bekas CEO Indah Water Konsortium, Abdul Kadir Mohd Din.
Bekas ketua pegawai eksekutif Indah Water Konsortium Sdn Bhd, Abdul Kadir Mohd Din, menggantikan bekas anggota parlimen Charles Santiago sebagai pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span).
Dalam hantaran di Facebook hari ini bagi mengucapkan tahniah kepada Abdul Kadir, Span berkata lantikan itu berkuat kuasa semalam.
Abdul Kadir juga merupakan pengarah urusan syarikat pengurusan sisa Sacra Sol Sdn Bhd, bekas presiden Persatuan Air Malaysia serta bekas ketua pegawai operasi Pengurusan Aset Air Bhd.

Dia turut dilaporkan menjadi penasihat kepada Ranhill Holdings Bhd – syarikat induk Ranhill SAJ Sdn Bhd, pengendali eksklusif air bagi negeri Johor yang mengurus antaranya rawatan dan pengagihan rangkaian bekalan air di negeri itu.
Charles, bekas wakil rakyat DAP selama tiga penggal, memegang jawatan pengerusi Span dari November 2018 hingga Oktober 2022 dan sekali lagi dari Mac 2023 sehingga penggantiannya baru-baru ini.
