Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Datuk Ramli Yusuff hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua tuduhan gagal mendedahkan maklumat harta yang dimilikinya dan satu tuduhan menjalankan perniagaan.

Ramli, 55, pegawai tertinggi polis yang diheret Badan Pencegah Rasuah (BPR) ke mahkamah, mengaku tidak bersalah terhadap ketiga-tiga tuduhan itu.

Bagi tuduhan pertama dia didakwa tidak mendedahkan maklumat mengenai ruang pejabat, Lot 144, Seksyen 44, Petak 128, Tingkat 4, bangunan M1-B, hak milik Strata Geran 37731/M1-B/4/128, Bandar Kuala Lumpur, Unit B-3A-9, Megan Avenue II, Jalan Yap Kwan Seng di Kuala Lumpur, dan satu lagi ruang pejabat lot yang sama, Petak 127 di tingkat dan bangunan yang sama.

Harta itu, semasa perolehan bernilai RM1,032,840 yang dipegang oleh kakaknya Rohmah @ Hasmah Yusoff, dan adiknya Roslina Yusoff, selaku dua pengarah Bonus Circle Sdn Bhd, sebuah syarikat pemegangan pelaburan.

Dia menghadapi tuduhan kedua, iaitu gagal mendedahkan maklumat berkenaan 154,000 unit saham miliknya dalam Pemaju Industries Sdn Bhd.

Bagi kedua-dua tuduhan di atas, Ramli didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 32 (2) Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Manakala tuduhan ketiga pula ialah melanggar peraturan 5(1)(a) Peraturan Pegawai Awam Kelakuan dan Tatatertib (Pindaan) 2002, kerana mengambil bahagian dalam perniagaan, dengan memegang jawatan pengarah Kinta Jaya Sdn Bhd pada 25 April 2006 ketika memegang jawatan pengarah CCID.

Dengan itu, Ramli dituduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 168 Kanun Keseksaan.

Ikatjamin

Timbalan pendakwaraya dari BPR - Mohd Jazamuddin Ahmad Nawawi dan Zulkarnain Hassan - meminta mahkamah mengenakan ikatjami RM40,000 ke atas Ramli serta menahan pasportnya.

Bagaimanapun, Hakim SM Komathy Suppiah membenarkan Ramli diikatjamin sebanyak RM20,000 dan seorang penjamin. Ramli juga dibenarkan menyimpan pasportnya.

Perbicaraan bagi dua tuduhan pertama terhadap Ramli telah ditetapkan pada 15 Januari tahun depan. Manakala tuduhan ketiga akan didengar pada 3 Mac depan.

Jika didapati bersalah bagi dua kesalahan pertama itu, Ramli berdepan dengan hukuman penjara antara 14 hari hingga 20 tahun. Dia juga boleh didenda sehingga RM100,000.

Bagi tuduhan ketiga pula, dia berdepan dengan hukuman penjara maksimum setahun dan/atau denda.

Pihak pendakwaraya berkata, mereka akan memanggil 20 orang saksi bagi dua pertama dan 15 saksi lagi bagi tuduhan ketiga.

Manakala peguambela Ramli - Datuk K Kumaraendran - berkata, pelanggannya akan mengemukakan permohonan supaya ketiga-tiga tuduhan tersebut dibicarakan secara bersama.

"Keseluruhan 38 tahun kariernya terjejas kerana tuduhan-tuduhan terhadapnya itu," katanya sambil menambah, ianya telah menimbukan keraguan terhadap diri dan kredibiliti Ramli sebagai seorang pegawai polis yang bertanggungjawab.

"Beliau mahu memulihkan nama baiknya," tambah Kumaraendran.

Ramli, 55 - salah seorang pegawai tertinggi polis, dipanggil ke ibupejabat BPR pagi tadi.

Dia tiba di ibupejabat BPR pada jam 11.20 pagi dengan menaiki kereta BMW warna hitam, dengan ditemani oleh isterinya serta empat orang peguam.

Ramli ditahan pada kira-kira jam 11.45 pagi, selepas memberi kenyataannya.

Ramli merupakan pegawai polis paling kanan selepas bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor, yang didakwa di mahkamah, dalam sejarah negara ini.

Ikatjamin

Ramli disiasat oleh BPR ekoran dakwaan dia memiliki aset bernilai RM27 juta. Ramli bagaimanapun menafikan tuduhan tersebut dalam satu sidang akhbar Selasa lalu.

Dalam sidang akhbar tersebut, Ramli turut mengecam BPR kerana membocorkan maklumat berhubung siasatan itu kepada pihak akhbar.

Susulan kepada siasatan itu, BPR telah mendakwa seorang peguam Ramli - Rosli Dahlan - pada 13 Oktober lalu kerana gagal memberi maklumat mengenai hartanya dalam kenyataan bersumpahnya.

Rosli, 46, seorang rakan fima guaman Lee Hishammuddin Allen & Gledhill, didakwa gagal mematuhi arahan dalam notis bertarikh 17 Julai 2007, yang dikeluarkan di bawah Seksyen 32(1)(b) Akta Pencegahan Rasuah 1997, supaya memberi maklumat penuh mengenai hartanya.

Sementara itu, Bernama melaporkan, BPR telah mengambil kenyataan dari kakak dan adik perempuan Ramli semalam.

Dalam satu kenyataan melalui peguamnya semalam, Ramli berkata tindakan BPR itu boleh dipersoalkan. Katanya, ini kerana Peguam Negara telah mengeluarkan kenyataan bahawa beliau berpuashati dengan siasatan BPR dan kertas siasatan telah diserahkan kepadanya.

Menurut Ramli, kira-kira jam 9.15 pagi tiga pegawai BPR dari pejabat Kota Baharu ke rumah kakaknya di Kampung Bunut Susu, Pasir Mas, Kelantan dan meminta kakaknya itu mengikut mereka bagi tujuan mengambil kenyataan.

Beliau berkata kakaknya Rohmah @ Hasmah Yusuff, 58, telah memberitahu pegawai-pegawai itu beliau perlu menjaga bapanya berusia 83 tahun yang mempunyai pelbagai penyakit.

Beri kenyataan

"Kakak saya menawarkan untuk memberi kenyataannya di rumah, dengan alasan kesihatan ayah saya, tetapi beliau diberitahu akan ditangkap jika tidak mengikut mereka," kata Ramli dalam kenyataan itu.

Ramli berkata pegawai-pegawai BPR itu juga mengunjungi adik perempuannya, Roslina Yusoff, 42, di pejabatnya tetapi beliau bercuti.

"Adik saya diberitahu oleh pejabatnya mengenai kunjungan itu dan beliau menghubungi peguamnya dan mereka menasihatinya supaya memberikan kerjasama kepada BPR," katanya.

Ramli berkata sebelum ini, kakak dan adik perempuannya itu telah memberikan kenyataan mereka kepada BPR.

Di Kota Bharu, kakak Ramli mengelak apabila dihampiri pemberita yang menunggu kira-kira dua jam di luar pejabat BPR Kelantan.

Pengarah BPR Kelantan, Md Yusof Md Zain ketika dihubungi Bernama juga enggan mengesahkan perkara itu kerana menurutnya semua siasatan berhubung kes itu dijalankan pegawai BPR dari ibu pejabat.

Sementara itu, bapa Ramli, Yusuff Ismail, 82, ketika ditanya mengenai perkara itu berkata beliau hanya mengetahui mengenai tuduhan terhadap anaknya itu melalui laporan media.

"Bagi saya terserah kepada tuhan agar perkara yang didakwa itu tidak berlaku kepadanya. Apa yang membimbangkan saya perkara tak ada diada-adakan," katanya kepada Bernama.

Yusuff, yang juga bekas anggota polis ketika zaman pemerintahan Jepun berkata beliau tinggal bersama anak perempuannya di rumah banglo itu sejak beberapa tahun lepas setelah isterinya meninggal dunia.