Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata, beliau menyertai Umno kerana mahu membawa perubahan supaya parti dan khususnya pergerakan itu menjadi lebih baik daripada yang ada sekarang.

Katanya, baginya prinsip perjuangan Umno lebih penting daripada individu dan pemimpin yang ada dalam parti itu.

"Saya mahu membawa perubahan kepada Pemuda Umno dan saya yakin dapat melakukannya.

"Saya melihat bagaimana Pemuda Umno kehilangan pemimpin dan ahli-ahli selepas peristiwa pemecatan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada September 1998.

"Pemuda Umno, ketika itu amat rapat dengan Anwar dan pemecatannya menyebabkan orang muda dan pelajar menyertai reformasi yang dibawa oleh bekas Timbalan Presiden Umno itu," katanya ketika menyampaikan ucapan di satu majlis di sebuah hotel di Petaling Jaya hari ini.

Khairy yang juga menantu Perdana Menteri berkata, beliau tidak menyertai Kelab Umno di London sewaktu bekerja sebagai wartawan.

Katanya, sekitar tahun 1999 hingga 2001, merupakan masa yang sukar kepada Pemuda Umno kerana orang muda menyertai pembangkang termasuk kalah dalam pilihanraya kecil Lunas yang diadakan pada tahun 2000.

P'raya kecil Lunas

"Umno kalah dalam pilihanraya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lunas walaupun Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan pemimpin-pemimpin utama lain berkempen untuk calon Barisan Nasional (BN).

"Pemuda Umno datang dengan motosikal besar tetapi calon BN kalah juga kepada calon Keadilan Nasional (kini PKR), Saifuddin Nasution, yang merupakan bekas setiausaha kerja Pemuda Umno," katanya.

Ketika itu, kata Khairy, orang menyokong parti itu, terutama sekali di kalangan orang muda yang tinggal di kawasan bandar.

Katanya, Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein mengambil keputusan menyusun semula Pemuda Umno dengan fokus untuk membawa orang muda ke dalam pergerakan itu.

"Kami juga membuat program-program seperti masuk ke kampung seperti tinggal di masjid beberapa hari dan mengadakan program bersama penduduk," katanya.

Dalam ucapannya, Khairy juga menyentuh bagaimana beliau bertemu bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di rumah keluarganya di London ketika beliau berusia 10 tahun.

Ketika itu, bapanya Jamaluddin Abu Bakar merupakan seorang diplomat di London.

Jumpa Dr M di London

Beliau berkata, kejadian itu berlaku apabila Dr Mahathir menghadiri makan malam di rumah keluarganya ketika mengadakan lawatan ke London.

Katanya, beliau bertanya Dr Mahathir "berapa lama lagi awak mahu menjadi Perdana Menteri?"

"Mungkin kerana soalan itu Dr Mahathir marah saya walaupun saya suka kepada beliau dan saya istilahkan hubungan kami sebagai sayang dan benci," katanya sambil menjelaskan beliau berumur 10 tahun ketika itu.

Ketika ditemui kemudiannya, Khairy berkata, perjuangan Pemuda Umno walaupun untuk orang Melayu tetapi perlu juga mengambil kira rakan-rakan lain dalam parti dan kerajaan.

Katanya, Pemuda Umno telah memasuki era perjuangan berbeza selaras dengan perkembangan bangsa dan negara.

"Pintu Pemuda Umno terbuka kepada seberapa golongan profesional muda yang boleh memberi pelbagai pandangan dan cadangan alternatif kepada parti.

"Tentunya pergerakan ini tidak perlu orang yang hanya tahu mengkritik sahaja," katanya.