Dewan tolak usul tergempar perobohan kuil Hindu
Dewan Rakyat hari ini menolak usul tergempar yang dibentangkan oleh M Kula Segaran (DAP-Ipoh Barat) bagi menangguhkan sidang untuk membincangkan pemusnahan kuil Hindu di Padang Jawa, Shah Alam Selasa lalu.
Dewan Rakyat hari ini menolak usul tergempar yang dibentangkan oleh M Kula Segaran (DAP-Ipoh Barat) bagi menangguhkan sidang untuk membincangkan pemusnahan kuil Hindu di Padang Jawa, Shah Alam Selasa lalu.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Datuk Lim Si Cheng yang menerima usul itu semalam berkata usul itu memenuhi dua kategori iaitu tertentu dan mempunyai kepentingan orang ramai.
"Tetapi usul itu tidak memenuhi kategori ketiga dalam Peraturan Mesyuarat 18 (1) iaitu perlu disegerakan. Maka usul ini ditolak," katanya.
Dalam usul berkenaan Kula Segaran berkata masyarakat Hindu sedih dan tindakan pemusnahan kuil itu keterlaluan dan dimusnahkan oleh 500 anggota polis, anggota Polis Simpanan Persekutuan (FRU) dan unit penguatkuasaan, demikian menurut laporan Bernama
"Sebanyak 250 buah rumah juga dimusnahkan termasuk sebuah surau di mana tanah pilihan telah diberikan untuk surau berkenaan," katanya.
Beliau juga mendakwa, gangster juga diupah pihak kontraktor untuk menakutkan penganut Hindu yang berada di kuil tersebut," katanya.
Kula Segaran berkata sebanyak 26 orang cedera dalam kejadian itu manakala yang serius dihantar ke hospital.
Katanya, rakyat membantah isu ini kerana menyakitkan perasaan lebih dari 2.5 juta penganut Hindu di Malaysia.

