Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Malaysiakini disenarai pendek untuk 3 Anugerah Sopa
Diterbitkan:  May 9, 2025 8:58 AM
Dikemaskini: 12:58 AM

Liputan Malaysiakini tahun lalu telah disenarai pendek untuk tiga anugerah dalam Anugerah Kecemerlangan Editorial 2025 oleh Anugerah Persatuan Penerbit-penerbit Asia (Sopa)

Ini termasuk laporan portal berita ini mengenai skandal rasuah Sabah yang melibatkan beberapa Adun di negeri itu, yang merupakan salah satu daripada tiga calon untuk Anugerah The Scoop dalam kategori berita tempatan/serantau.

Skandal yang masih dalam siasatan itu berkisar kepada siri video, dokumen dan tangkap layar mesej teks yang menunjukkan ahli politik sedang berbincang mengenai sogokan sebagai balasan untuk menyokong permohonan lesen penerokaan mineral oleh seorang ahli perniagaan.

Selepas skandal itu didedahkan, ahli perniagaan yang dikenali sebagai “Albert” itu memohon perlindungan sebagai pemberi maklumat (whistleblower). Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor telah menyangkal dakwaan Albert sebagai usaha terancang untuk mencemarkan reputasi pentadbirannya.

Dua laporan lain yang disenarai pendek adalah daripada Kini News Lab, yang memberi tumpuan kepada kewartawanan data dan penceritaan inovatif.

Laporan “Ada balak di balik sawit” mendedahkan bagaimana aktiviti pembalakan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang menjejaskan bekalan air di beberapa kampung berhampiran Ulu Tembeling, Pahang. 

Ia turut membangkitkan kaitan projek tersebut dengan VIP dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), dan disenarai pendek untuk Anugerah Kecemerlangan Laporan Alam Sekitar Sopa. 

Satu lagi laporan yang disenarai pendek adalah “‘Maut di sungai merah’ - Orang Asli risau anak-anak keracunan”, yang termasuk dalam siri laporan mengenai nasib masyarakat Temiar di Gua Musang, Kelantan, dengan sumber air utama mereka telah menjadi merah akibat aktiviti perlombongan.

Kedua-dua laporan oleh Kini News Lab ini dihasilkan dengan sokongan daripada Pulitzer Centre.

Pulitzer Asia

Sopa diasaskan di Hong Kong pada tahun 1982 dengan tujuan menggalakkan amalan terbaik dalam industri penerbitan, menetapkan standard tinggi dalam kewartawanan, dan menjadi suara bagi kebebasan media serta hak wartawan di Asia Pasifik.

Anugerah Kecemerlangan Editorial Sopa yang dianjurkan setiap tahun sejak 1999 bertujuan mengiktiraf dan menghargai kewartawanan bermutu tinggi. Anugerah ini sangat dihormati dan menjadi sorotan utama dalam kalendar media serantau.

Ia kini dilihat secara meluas sebagai “Anugerah Pulitzer Asia”.

Malaysiakini merupakan salah satu daripada hanya dua organisasi media Malaysia yang tersenarai tahun ini.

Satu lagi adalah dokumentari mengenai isu “penculikan bayi” yang melibatkan keluarga tanpa status kewarganegaraan di Sabah. Ia diterbitkan oleh pasukan penyiasatan The Fourth, yang disenarai pendek untuk Anugerah Kecemerlangan Laporan Video.

Dokumentari itu berdasarkan pendedahan Malaysiakini pada 2023 yang diiktiraf dengan Anugerah Sopa serta Anugerah Kajai sebelum ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS