Zulhasnan: Bersih mesti pohon permit

Syed Jaymal Zahiid        

Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) mesti mendapatkan permit polis untuk mengadakan perhimpunan awam pada 10 November depan, kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulhasnan Najib Baharuddin.

Beliau memberitahu demikian ketika mengadakan perjumpaan dengan delegasi lima orang dari Bersih di ibupejabat Kontinjen Polis Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Bersih, Zulhasnan berkata beliau memahami apa yang dibangkitkan oleh delegasi Bersih dalam pertemuan hari ini mengenai hak perlembagaan bagi rakyat mengadakan perhimpunan secara aman dan perlunya pembaharuan dalam sistem pilihanraya.

Bagaimanapun, Zulhasnan memberitahu mereka bahawa beliau mesti bertindak mengikut undang-undang dan dalam hubungan itu, beliau meminta Bersih memohon permit polis bagi mengadakan perhimpunan pada 10 November depan, seperti yang dikehendaki oleh undang-undang.

Delegasi Bersih itu terdiri daripada Naib Presiden PKR, S Sivarasa; Penasihat Pilihanraya DAP, Liew Chin Tong; Pengarah Penyelidikan PAS, Dr Zulkifli Ahmad; Ahli Jawatankuasa Pusat PAS, Dr Syed Azman Nawawi dan kakitangan sekretariat Bersih, Faisal Mustapha.

Badan pemantau pilihanraya itu menemui Zulhasnan pagi tadi untuk memaklumkan mengenai sebab dan filosofi di sebalik tujuan Bersih mahu menganjurkan perhimpunan pada 10 November depan.

Kempen 'gelombang kuning'

Perhimpunan tersebut dijangka dihadiri lebih 10,000 penyokong gerakan pembaharuan dalam sistem pilihanraya dan sebagai membantah ketidakadilan dalam sistem pilihanraya sekarang.

Mereka kemudiannya akan berarak dari Dataran Merdeka ke Istana Negara untuk menyampaikan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

Menurut Sivarasa, perjumpaan selama 40 minit dengan Zulhasnan berjalan dalam keadaan mesra.

Katanya, Ketua Polis Kuala Lumpur itu meminta mereka memahami bahawa beliau juga perlu melaksanakan tanggungjawabnya.

Dzulkifli pula berkata, pihak polis mesti bertanggungjawab untuk menegakkan demokrasi melalui undang-undang dan bukan menekannya, seperti yang berlaku dalam kejadian di Batu Buruk, Terengganu di mana dua orang cedera terkena tembakan seorang anggota polis.

Menurutnya, Bersih akan bermesyuarat malam ini untuk memaklumkan kepada ahli-ahlinya yang lain mengenai hasil perjumpaan hari dan tindakan yang akan diambil selanjutnya.

Beliau memberitahu pemberita, badan pemantau pilihanraya itu akan melancarkan kempen 'gelombang kuning' di Pasar Seni.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In