Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abdul Hamid Mohamad hari ini dilantik sebagai pemangu Ketua Hakim Negara berkuatkuasa serta merta.

Perlantikan Abdul Hamid - yang baru dilantik sebagai presiden Mahkamah Rayuan tidak sampai dua bulan lalu, pada 5 September lalu - diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini.

Beliau akan menggantikan Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim yang bersara semalam yang mencapai umur 66 tahun - umur wajib persaraan bagi para hakim.

Ahmad Fairuz mencapai umur persaraannya di tengah-tengah kontroversi di mana beliau telah dikaitkan dengan klip video yang menunjukkan peguam Datuk VK Lingam berbual melalui telefon mengenai pelantikan akim-hakim.

Menurut laporan media, Ahmad Fairuz telah mengemukakan permohonan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melanjutkan perkhidmatannya selama enam bulan lagi. Bagaimanapun, perkembangan terbaru hari ini menunjukkan Ahmad Fairuz menjadi antara segelintir ketua hakim negara yang tidak diberi lanjutan tempoh perkhidmatan.

Abdullah berkata, Abdul Hamid, 65, akan memangku jawatan tersebut sehinggalah Ketua Hakim Negara yang baru dibuat.

Dalam satu kenyataan dalam lamanweb Pejabat Perdana Menteri, Abdullah berkata, pelantikan Ketua Hakim Negara yang baru akan dibuat secepat mungkin.

Perdana Menteri juga mengucapkan terima kasih Ahmad Fairuz di atas perkhidmatan dan sumbangan beliau.