Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Lepas didesak, bank tangguh lelong rumah pesakit kronik, dakwa PSM

Selepas desakan pelbagai pihak, termasuk Parti Sosialis Malaysia (PSM), Ambank akhirnya didakwa bersetuju menangguhkan lelongan rumah seorang pesakit kronik, Komagan Devadas, 49, yang gagal melunaskan pinjaman perumahan akibat masalah kesihatan.

Menurut Ahli Jawatankuasa Pusat PSM, Karthiges Rajamanickam, hasil perbincangan petang tadi bersama pihak bank mencapai kesepakatan menangguhkan proses lelong sehingga keputusan tuntutan insurans gadai janji (MRTA) yang dipohon Komagan selesai.

"Hari ini kami mewakili pihak keluarga Komagan mengadakan perbincangan dengan pihak bank. Hasil perbincangan, pihak bank bersetuju untuk menangguhkan proses lelong sehingga keputusan tuntutan insurans MRTA.

"Bank berjanji akan membuat kenyataan penangguhan dalam masa dua hari. Dan pihak keluarga juga bersetuju untuk membuat satu bayaran kecil untuk pinjaman perumahan," katanya kepada pemberita di Menara Ambank di Kuala Lumpur.

Mortgage Reducing Term Assurance (MRTA) sejenis polisi insurans yang direka khas untuk perlindungan pinjaman perumahan.

Setakat ini, Malaysiakini masih menunggu maklum balas rasmi daripada bank berhubung perkara tersebut.

Untuk rekod, Komagan dan isterinya Rany Parasuraman merupakan peminjam bersama rumah tersebut.

Selepas pembelian rumah itu, Komagan disahkan menghidap masalah jantung dan kini bergantung kepada rawatan dialisis untuk penyakit buah pinggangnya, sekali gus menjejaskan kemampuannya untuk bekerja.

Kini, dia hanya menerima pencen Perkeso selain diiktiraf sebagai tidak mampu bekerja. Mahkamah Tinggi Taiping sebelum ini telah mengeluarkan perisytiharan jualan pada 25 Mac, menetapkan rumah mereka akan dilelong pada 21 Mei ini.

Bagaimanapun, Komagan telah membuat permohonan tuntutan MRTA yang membolehkan pemotongan sehingga 50 peratus bayaran balik pinjaman dan kini masih menunggu keputusan rasmi.

Bercakap kepada media, Komagan meluahkan kelegaan susulan keputusan hari ini.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada PSM dan pihak bank.

"Saya mempunyai tiga anak yang masih belajar. Rumah ini adalah segala-galanya kepada kami," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS