Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MCA desak Loke dedahkan bilangan saman pada 2024
Diterbitkan:  May 14, 2025 6:36 PM
Dikemaskini: 10:36 AM

Pemuda MCA menggesa Menteri Pengangkutan Anthony Loke supaya mendedahkan jumlah saman yang dikeluarkan sepanjang 2024 susulan kemalangan yang mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan, Perak semalam.

Setiausaha Agung Pemuda MCA Saw Yee Fung juga mahu Loke mendedahkan kesalahan utama yang menyebabkan pemandu kenderaan berat dikenakan saman semasa sekatan jalan raya.

Saw Yee Fung

“Kita tidak mahu menteri yang hanya menjadi ‘juara’ dalam memperbaharui sistem pemeriksaan kenderaan, sedangkan kes kemalangan maut terus meningkat,” kata Saw dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, dia membangkitkan soalan yang diajukan oleh rakyat Malaysia dalam talian sama ada tindakan Loke menambah pusat pemeriksaan kenderaan telah mengakibatkan kegagalan akibat pelanggaran kenderaan berat.

Semalam, sebuah lori FRU yang membawa 18 anggota dari Unit 5 Sungai Senam, bertembung dengan sebuah lori yang sarat dengan muatan batu di Teluk Intan. Kejadian itu menyebabkan lapan anggotanya maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia akibat cedera ketika menerima rawatan di Hospital Teluk Intan.

Bernama melaporkan, pemandu lori berusia 45 tahun yang terlibat dalam kemalangan itu direman empat hari, mulai semalam.

Terdahulu hari ini, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata trak FRU yang terlibat dalam kemalangan di Perak itu adalah dalam keadaan layak dipandu.

Sambil merujuk nahas semalam, Saw menggesa Kementerian Pengangkutan mendedahkan tindakan susulan yang perlu diambil terhadap pemandu yang mengulangi kesalahan ini.

“Adakah syarikat yang memiliki kenderaan komersial itu akan dikenakan tindakan atau hanya tindakan ke atas pemandu sahaja?

“Rakyat perlu tahu sejauh mana penguatkuasaan benar-benar dijalankan secara serius, dan bukan hanya operasi bermusim.

“Ketelusan ini penting untuk membina semula kepercayaan rakyat terhadap sistem keselamatan jalan raya,” tegasnya.

Dia turut memberi contoh empat perlanggaran membabitkan kenderaan berat yang berlaku sejak awal tahun ini.

Selain itu, dia juga menyoal mengenai tahap kesihatan pemandu dan mahu tahu adakah mereka ini dipantau sebelum diberikan lesen memandu kenderaan berat.

“Justeru, Pemuda MCA menyarankan agar proses tapisan dan pemantauan ini dijalankan secara berkala dan berterusan, bukan sahaja ketika memohon atau memperbaharui lesen,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS