Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rafizi tanya Ramanan: Dari mana PKR boleh menang 80 kerusi?

Rafizi Ramli berpendapat dakwaan dibuat Timbalan Ketua Penerangan PKR, R Ramanan, kononnya parti itu boleh memenangi sehingga 80 kerusi parlimen dalam PRU akan datang sebagai tidak realistik.

Dia yang juga Timbalan Presiden PKR berkata, Ramanan sepatutnya merujuk terlebih dulu jumlah kerusi ditandingi parti berkenaan dalam PRU ke-15 pada 2022 lalu.

"Ramanan kata dia sokong Nurul Izzah (Anwar) sebagai timbalan presiden kerana dia (Nurul Izzah) ada formula untuk menang 80 kerusi (parlimen) dalam PRU akan datang.

"Dia (Ramanan) ni kira tak berapa kerusi kita bertanding dalam PRU ke-15?

“Semasa PRU yang lepas kita bertanding 72 kerusi parlimen di Semenanjung, 12 di Sabah dan 16 kerusi di Sarawak.

"Maknanya 100 kerusi... dan ketika itu dalam keadaan kita - PH lawan BN dan PN, tidak ada kerusi bertindih.

"Kalau kita masuk (PRU ke-16) sebagai kerajaan perpaduan, kita kena bahagi kerusi. PH kena rundingkan kerusi dengan BN.

“Mustahil kita boleh bertanding di semua 72 kerusi itu (seperti PRU ke15)," katanya ketika berucap dalam siri jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi dalam Ujian Kuasa (Hiruk) di Mentakab, dekat Temerloh, Pahang, malam tadi.

Jangan salah pilih

Menjelaskan lebih lanjut mengenai perkara itu, Rafizi memaklumkan daripada 72 kerusi ditandingi PKR semasa PRU ke-15, hanya 29 kerusi dimenangi parti berkenaan di Semenanjung dan masing-masing satu di Sabah dan Sarawak.

"Kalau ikut formula yang ada, parti mendapat undi kedua tertinggi di kerusi parlimen yang kita kalah (PRU ke-15), dia akan bertanding di situ.

"Saya kira ada dalam 16 (kerusi)... jadi 29 campur 16 kita ada 45 kerusi yang boleh kita letak calon (dalam PRU ke-16) di Semenanjung.

“Dari mana datangnya (kemungkinan) kita boleh menang 80 kerusi?" tegasnya.

Dia kemudiannya mengingatkan perwakilan PKR yang hadir dalam siri jelajah itu supaya membuat penilaian betul-betul sebelum memilih pemimpin mereka.

R Ramanan

Hal itu kerana, katanya, kesilapan memilih pemimpin dan gabungan untuk berdepan Pilihan Raya Negeri Sabah tidak lama lagi dan seterusnya PRU ke-16 akan mengakibatkan masalah besar kepada PKR.

PKR dijadual mengadakan pemilihan pemimpin di peringkat pusat pada 23 Mei ini.

Rafizi akan mempertahankan jawatannya dalam pertembungan satu lawan satu dengan Nurul Izzah Anwar.

Isnin lalu, Ramanan dalam satu majlis di Ipoh, Perak, dilaporkan berkata sokongan penuh perlu diberikan kepada Nurul Izzah bagi merebut jawatan timbalan presiden jika parti itu mahu mencatatkan peningkatan jumlah kerusi parlimen pada PRU akan datang.

Bekas pemimpin MIC itu juga berkata, kemampuan Nurul Izzah sudah terbukti apabila dia menjadi Pengarah Pilihan Raya PKR semasa PRU ke-14, parti itu memenangi paling banyak kerusi.

"Jika beliau kembali sebagai timbalan presiden, saya yakin kita bukan sahaja boleh menang 50, mungkin 70 atau 80 kerusi,” kata Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS