Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis tahan suami Pamela Ling untuk bantu siasatan kes
Diterbitkan:  May 15, 2025 1:09 PM
Dikemaskini: 5:26 AM

Polis pagi tadi menahan suami kepada Pamela Ling Yueh, yang diculik ketika dalam perjalanan untuk memudahkan siasatan SPRM pada 9 April lalu.

Penahanan itu disahkan oleh Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa kepada wartawan, hari ini.

Rusdi Mohd Isa

“Disahkan (suaminya) ditangkap di kawasan Kuala Lumpur awal pagi ini.

“Dia ditahan bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Rusdi, polis telah memohon perintah reman terhadap suaminya iaitu seorang ahli perniagaan Malaysia di mahkamah majistret di Putrajaya tetapi ditolak.

Semalam, Malaysiakini yang memetik The Edge melaporkan pertikaian penceraian berprofil tinggi antara wanita yang dilaporkan hilang itu dengan suaminya yang bergelar ‘Datuk Seri’ itu, kini bertambah rumit dengan dakwaan tandatangan palsu dan penipuan label makanan halal.

Menurut akhbar perniagaan itu, dokumen mahkamah yang difailkan Ling di Singapura mendedahkan dakwaan bahawa suaminya, Thomas Hah Tiing secara salah mengisytiharkan produk daging tanpa sijil halal sebagai halal bagi mengeksploitasi kadar cukai import yang lebih rendah.

Pada 7 April lalu, dua hari sebelum kehilangannya, Ling dilapor memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Ketua Pengarah Imigresen.

Pamela Ling

Dalam permohonannya, Ling memohon agar waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Johor Bahru terhadapnya pada 2 Disember 2024 dibatalkan.

Dia juga memohon deklarasi bahawa SPRM tidak mempunyai kuasa menghalang sesiapa meninggalkan Malaysia kecuali melalui saluran sah, pemulangan dua telefon bimbit yang dirampas SPRM, perintah mandamus memaksa Imigresen membenarkannya keluar dari Malaysia serta pampasan sebanyak S$20,401.14 (RM67,700) dan RM70,000 bagi perbelanjaan yang telah ditanggung, selain tuntutan lain.

Menurut The Edge, Ling mendakwa tandatangannya dipalsukan pada Julai 2023 dalam beberapa dokumen pemindahan saham dan resolusi lembaga yang mengakibatkan pemindahan lebih separuh pegangan sahamnya dalam Multi Galaxy Pte Ltd (dahulunya Joinland Group Pte Ltd) kepada Hah. Syarikat itu terlibat dalam penyewaan hartanah.

Ling dalam permohonan semakan kehakimannya mendakwa penahanan, sekatan perjalanan dan tindakan pihak berkuasa Malaysia terhadapnya bertujuan memaksa dirinya menggugurkan tuntutan berkaitan harta sepencarian dan pertikaian lain dengan Hah.

Thomas Hah Tiing

The Edge memetik afidavit bahawa Ling pada Disember 2023 membuat aduan kepada Pihak Berkuasa Pengawalseliaan Korporat dan Perakaunan (ACRA) Singapura mempertikaikan kesahihan pemindahan saham itu dan turut membuat laporan polis di Singapura menuduh Hah memalsukan tandatangannya.

Pada 2 Mei lalu, keluarga Ling mendedahkan wanita berusia 42 tahun itu dalam perjalanan untuk bertemu pegawai SPRM pada 9 April untuk membantu siasatan pengubahan wang haram tetapi diculik sebelum sempat tiba di lokasi.

Pemandu Grab yang membawa Ling mendakwa keretanya dihentikan individu berpakaian seragam polis yang memaksa Ling keluar dari kenderaan dan memaksanya menandakan perjalanan sebagai "selesai".

Ketua Polis Negara, Razarudin Husain mengesahkan polis menyiasat kemungkinan suami Ling terlibat dalam penculikannya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS