Perhimpunan Umno: Peluang menjadi calon praya
Perhimpunan Agung Umno minggu depan mungkin menjadi medan terbaik bagi pemimpin dan para perwakilan untuk 'menunjukkan taring' bagi mencerahkan peluang terpilih sebagai calon pilihanraya umum akan datang.
Perhimpunan Agung Umno minggu depan mungkin menjadi medan terbaik bagi pemimpin dan para perwakilan untuk 'menunjukkan taring' bagi mencerahkan peluang terpilih sebagai calon pilihanraya umum akan datang.
Mungkin juga suara untuk menghentam pembangkang - PAS, DAP dan PKR - akan lebih kuat kedengaran kerana pilihanraya yang semakin hampir.
Persoalannya ialah kumpulan mana yang akan paling lantang - Pemuda, Wanita, Puteri atau pemimpin lama parti.
Namun apakah sebenarnya yang diperlukan dalam perhimpunan terbesar parti politik orang Melayu itu?
Cukupkah sekadar bersorak dan menjulang keris sebagai lambang ketuanan Melayu?
Apa yang terjadi dengan usul dan saranan yang diluluskan dalam perhimpunan lalu?
Mungkinkah Pemuda dan Puteri Umno akan menuntut lebih banyak kerusi dalam pilihanraya umum kelak dalam usaha mengetengahkan lebih ramai muka baru?
Keputusan Hishammuddin
Jika kedua-dua sayap Umno berbuat demikian, bolehkan pergerakan Wanita dan pemimpin lama menerimanya.
Atau adakah kumpulan yang berani mengkritik kepimpinan Perdana Menteri yang juga presiden parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang dikatakan tidak setara dengan presiden-presiden terdahulu, terutama Tun Dr Mahathir Mohamad.
Barangkali juga kali ini tempat bagi Datuk Hishamuddin Tun Hussein mengumumkan secara muktamad bahawa beliau tidak akan lagi hadir sebagai Ketua Pemuda Umno dalam perhimpunan agung tahun depan.
Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata, pergerakan memang sejak sekian lama memperjuang dan memertabatkan orang Melayu tetapi ia perlu disesuaikan dengan perubahan masa dan perkembangan yang berlaku dalam negara.
"Banyak isu besar yang dibangkit dan diketengahkan oleh para perwakilan tetapi kita perlu juga mengambilkira masyarakat sekeliling iaitu kaum yang lain.
"Pemuda Umno telah melalui banyak zaman tetapi anda perlu juga mengakui bahawa perjuangan yang ada hari ini lebih sofiskated," katanya.
Tiada siaran langsung
Khairy merupakan bintang baru Pemuda Umno yang secara tiba-tiba menjadi sebutan bukan sahaja di kalangan Pemuda Umno tetapi juga ahli-ahli parti secara keseluruhannya.
Memang jawatan itu dihadiahkan khusus untuknya setelah memang tanpa bertanding dalam pemilihan parti 2004.
Seperti kata Khairy, iklim politik negara sudah berubah dan ini bermakna Umno perlu melihat juga dengan parti-parti lain.
"Pemuda Umno boleh menggerakkan ahli dan penyokong untuk mengadakan perhimpunan atau demontrasi, namun kita mahu apa jua tidakan perlu sesuai dengan perkembangan yang berlaku dalam negara sekarang," katanya.
Sebaliknya Pemuda mahu menjadikan perhimpunan kali ini sebagai titik tolak orang Melayu melihat ke depan dengan fokus yang lebih besar khususnya menjadikan Malaysia sebuah negara gemilang pada 2057.
Apapun, perwakilan Umno bebas membahaskan semua isu dalam perhimpunan agung parti, melainkan yang membabitkan kes mahkamah, isu peribadi dan yang menyentuh Yang di-Pertuan Agong.
Selain itu, tiada siaran langsung bagi perhimpunan Umno kali ini. Perhimpunan tahun lalu telah disiarkan secara langsung oleh saluran Astro.
Keputusan itu dipercayai dibuat setelah mengambil kira sensiviti semua pihak ekoran siaran langsung yang dibuat tahun lalu.
Siaran langsung tahun lalu menimbulkan pelbagai kritikan ekoran ucapan-ucapan sesetengah perwakilan yang berbau perkauman.
Seramai 2,522 perwakilan dari seluruh negara akan menghadiri perhimpunan tahun ini, dan 57 perwakilan dari 68 kelab Umno luar negara telah mengesahkan kehadiran mereka.

