Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
15 pemimpin PKR cabang Masjid Tanah letak jawatan - sumber

Sebanyak 15 pemimpin PKR yang baru menang dalam pemilihan Cabang Masjid Tanah dikatakan letak jawatan hari ini berkuat kuasa serta-merta.

Dua sumber PKR masing-masing dari Melaka dan ibu pejabat PKR mengesahkan perkara itu kepada Malaysiakini.

"Saya tahu 15 pemimpin PKR Masjid Tanah letak jawatan. Antaranya, Timbalan Ketua Cabang Sunar Misran, Naib Ketua Cabang Lee Kin Mio dan 13 AJK (ahli jawatankuasa) letak jawatan," kata sumber dari Melaka itu.

Sementara itu, sumber dari ibu pejabat PKR memberitahu mereka menerima surat peletakan jawatan pada 12.30 tengah hari, hari ini.

"Difahamkan, mereka letak jawatan kerana hilang percaya dengan pimpinan Ketua Cabang Masjid Tanah Halim Bachik," kata sumber itu.

Untuk rekod, Masjid Tanah salah satu cabang yang menyaksikan keputusan pemilihan 'badan tanpa kepala', dengan calon ketua cabang Amran Othman kalah kepada Halim.

Pasukan Amran menang majoriti jawatan yang dipertandingkan.

Dalam perkembangan sama, ketika dihubungi mengulas dakwaan peletakan jawatan berkenaan, Setiausaha Agung Fuziah Salleh berkata dia tidak dapat mengesahkan kerana berada di luar kawasan.

"Saya tidak boleh sahkan. Saya tidak berada di pejabat. Saya belum terima (surat) dan ibu pejabat tidak tahu isi kandungan.

"Sebab surat itu alamat kepada setiausaha agung," katanya.

Dia turut menafikan bahawa terdapat kakitangan dari ibu pejabat dihubungi oleh pihak media.

"Ibu pejabat sahkan bahawa mereka tidak bertemu dengan media atau dihubungi oleh pihak media.

"Ibu pejabat kata ada terima surat tapi di alamatkan kepada setiausaha agung. Jadi, mereka tak tahu kandungan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS