MIC batalkan arahan tidak anjur majlis sambutan Deepavali
Dalam tempoh tidak sampai tiga jam, MIC mengambil keputusan untuk menarik balik arahannya kepada semua wakil rakyatnya supaya tidak menganjurkan sebarang majlis sambutan perayaan Deepavali tahun ini.
Dalam tempoh tidak sampai tiga jam, MIC mengambil keputusan untuk menarik balik arahannya kepada semua wakil rakyatnya supaya tidak menganjurkan sebarang majlis sambutan perayaan Deepavali tahun ini.
Bagaimanapun, dalam kenyataan berikutnya, Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu berkata, keputusan untuk menarik balik arahan tersebut adalah ekoran permintaan ramai masyarakat India supaya parti itu terus mengadakan rumah terbuka sempena sempena sambutan Deepavali Khamis ini.
Dalam kenyataannya sebelum itu, Samy berkata MIC - parti komponen ketiga terbesar Barisan Nasional (BN) - tidak akan menganjurkan sebarang majlis sempena sambutan perayaan Deepavali Khamis ini. "sebagai tanda penghormatan MIC terhadap perasaan masyarakat India yang amat sedih dengan perobohan Kuil Sri Maha Mariamman di Shah Alam".
Kuil yang berusia lebih satu abad itu terletak di Kampung Karuppiah, Padang Jawa, Shah Alam dan dirobohkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) minggu lalu.
Beliau menasihatkan semua wakil rakyat MIC - termasuk timbalan menteri dan setiausaha Parlimen - supaya tidak menganjurkan sebarang majlis pada tahun ini.
Selain Samy sebagai menteri kabinet, MIC mempunyai tiga timbalan menteri, tiga setiausaha Parlimen serta 19 Ahli Dewan Undangan Negeri. Tujuh daripada mereka adalah Exco kerajaan negeri masing-masing.
"MIC turut sedih dengan perobohan kuil tersebut. Tindakan merobohkan kuil tersebut telah melukakan hati masyarakat India di seluruh negara," katanya.
Bagaimanapun, tambahnya, wakil rakyat dari MIC digalakkan menyambut Deepavali secara sederhana di kalangan ahli keluarga dan saudara mara di rumah mereka.
Katanya, beliau sendiri tidak akan mengadakan "rumah terbuka" sempena sambutan perayaan Deepavali pada tahun ini.
Sudah menjadi kebiasaannya, Deepavali disambut meriah oleh semua pemimpin MIC di peringkat negeri dan pusat, dengan mengadakan majlis rumah terbuka sebagai menyambut perayaan cahaya itu.

