Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis siasat portal berita dakwa penemuan mayat Pamela Ling
Diterbitkan:  May 20, 2025 6:13 PM
Dikemaskini: 10:13 AM

Polis menjalankan siasatan terhadap sebuah portal berita dalam talian yang disyaki menyiarkan laporan berhubung penemuan mayat Datin Seri Pamela Ling Yueh, di sebuah rumah di Petaling Jaya sehingga tular di media sosial semalam.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata pihaknya membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Hussein Omar Khan

“Kita akan panggil pihak yang terbabit untuk dirakam keterangan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam polis mengesahkan satu laporan yang tular di laman sosial sebuah portal berita dalam talian bertajuk Police Interview Pamela Ling’s Children and Family Friend in Death Investigation adalah palsu.

Hussein mengesahkan tiada apa-apa laporan diterima pihaknya berkaitan penemuan mayat di sebuah rumah di Petaling Jaya, seperti yang dinyatakan dalam laporan tular berkenaan.

Pada 9 April, Pamela, 42, dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya dengan menaiki kereta perkhidmatan e-panggilan.

Laporan polis berhubung kehilangannya diterima pada 3.02 petang hari yang sama.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS