Ezam: Akta Rasuah tiada kuasa siasat pemimpin politik
Pengerusi Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak), Ezam Mohd Noor mendakwa, tindakan kerajaan meminda Akta Pencegahan Rasuah 1970 telah menyebabkan Badan Pencegah Rasuah (BPR) tidak lagi boleh menjalankan siasatan ke atas pemimpin politik atau elit pemerintah.
Pengerusi Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak), Ezam Mohd Noor mendakwa, tindakan kerajaan meminda Akta Pencegahan Rasuah 1970 telah menyebabkan Badan Pencegah Rasuah (BPR) tidak lagi boleh menjalankan siasatan ke atas pemimpin politik atau elit pemerintah.
Beliau mendakwa, kuasa tersebut pernah diberi oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr Ismail Abdul Rahman kepada BPR.
Melalui akta tersebut, katanya, BPR boleh menyiasat pemimpin politik atau elit pemerintah, memadai dengan hanya melihat keadaan rumah mereka.
"Bagaimanapun, akta tersebut telah dipinda dan keadaan ini menyebabkan BPR hanya boleh menyiasat pemimpin politik atau elit pemerintah setelah ada (laporan) kes.
"Untuk melakukan pendakwaan, BPR pula perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu dari Perdana Menteri," kata Ezam (foto).
Beliau menegaskan demikian ketika berucap di majlis forum rakyat bertajuk 'Rasuah Dalam Bahaya' di ibu negara petang semalam.
Majlis anjuran Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP) itu turut dihadiri Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa, Ketua Pemuda Salahuddin Ayub dan Ketua Penerangan, Mahfuz Omar serta dihadiri kira-kira 200 orang.
Naungan politik
Menurut Ezam lagi, kerajaan perlu menyiasat golongan ini dan bukannya hanya mengenai penyelewengan dalam pembelian peralatan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) seperti pemutar skru.
"Untuk menangkap pemimpin-pemimoin besar yang rasuah tentu tidak sama dan tidak semudah menahan pegawai Kastam dan pegawai Imigresen," katanya.
Oleh itu usaha kerajaan untuk menghapuskan rasuah tidak akan berjaya jika rasuah di peringkat atasan ini tidak dilakukan, katanya.
Sementara itu, Husam pula berkata, sistem naungan politik yang diamalkan menyebabkan ia mudah terdedah kepada amalan rasuah.
Husam yang juga ahli Exco kerajaan negeri Kelantan berkata, amalan potilik naungan telah menyebabkan banyak wang diberikan kepada kroni-kroni mereka.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz yang pada mulanya bersetuju untuk menjadi ahli penal forum tersebut tidak hadir.
Nazri tidak hadir
Bagaimanapun, kira-kira jam 3 petang iaitu setengah jam selepas program bermula, Salahuddin mengumumkan Nazri tidak dapat datang kerana menurutnya ada pemilihan parti.
"Saya tidak tahu apa alasan Nazri tetapi dia baru memberitahu ada perhimpunan parti," kata kepada kira-kira 200 orang ramai yang menghadiri forum tersebut.
Beliau berkata, beliau juga pernah berusaha untuk mendapatkan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Haniff Omar untuk tampil menceritakan perkara sebenar yang berlaku dalam pasukan polis.
Sementara itu dalam ucapannya, Salahuddin berkata, beliau mengadakan forum ini di ibu negara kerana masyarakat di Kuala Lumpur sangat mengambil berat mengenai isu rasuah yang berlaku dalam negara sekarang ini.
Ini, katanya berdasarkan kajian yang dibuat oleh DPP ke atas penduduk Kuala Lumpur baru-baru ini.
Pada masa sama, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu beliau berharap kemelut yang berlaku dalam badan kehakiman negara dan rasuah disebarkan ke kampung-kampung menjelang pilihanraya umum akan datang.
"Lakukan apa yang dilakukan oleh penyokong Barisan Alternatif I(BA) dalam gelombang reformasi yang berlaku pada 1999 dulu.
"Bawa gelombang ini dan beritahu kepada kaum keluarga, jiran dan kawan-kawan apa yang berlaku sekarang ini," katanya.

