Seorang pemimpin Wanita Umno menyeru MCA dan DAP supaya menghentikan drama politik dengan memberi tumpuan kepada agenda besar membabitkan ekonomi, pendidikan serta perpaduan kaum.
Exco Wanita Umno Nurulhidayah Ahmad Zahid berkata selaku parti yang berada dalam kerajaan perpaduan, MCA dan DAP harus segera menghentikan sengketa dan menumpukan kepada pelaksanaan agenda kerajaan.
"Berpolitik cara lama yang sering bergaduh tak bawa faedah kepada rakyat. Sebaiknya, politik baru harus lebih matang, dengan kesanggupan untuk ketepikan perbezaan demi kebaikan bersama.
"Dalam gabungan besar, memang akan ada perbezaan pandangan atau pendapat. Itu normal. Tapi perbezaan pandangan tak bermakna perpecahan — ia tanda sistem demokrasi yang sihat.
"Saya yakin rakyat sudah penat dan muak dengan pergolakan, tukar kerajaan berkali-kali. Gabungan BN-PH seharusnya menunjukkan contoh yang baik walau dulu lawan, kini sanggup duduk semeja untuk negara," katanya dalam kenyataan, hari ini.
MCA dan DAP dilihat masih lagi berseteru meskipun selepas PH dan BN bekerjasama membentuk kerajaan persekutuan.
Pemimpin dua parti itu juga sering bercanggah dalam beberapa isu, termasuk dalam soal pentadbiran.
Hari ini, Pemuda MCA membuat laporan kepada SPRM berhubung dakwaan ketidakwajaran dalam pelaksanaan projek MyKiosk di bawah Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).
KPKT diketuai oleh Timbalan Pengerusi DAP Nga Kor Ming.
Nurulhidayah berkata, persengketaan antara dua parti itu perlu ditamatkan segera.
"Sebagai pelapis kepada kepimpinan BN, saya berharap agar drama ini kita tamatkan segera.
"Ramai yang suka melihat kita berpecah kerana ada usaha untuk memecahkan kerajaan perpaduan ini sebelum PRU16, berhati-hati," katanya lagi.
