Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad gagal dalam usaha terakhir untuk mencabar keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini yang memerintahkan mereka membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali hari ini sebulat suara menolak permohonan pasangan itu bagi mendapatkan kebenaran semakan terhadap keputusan terdahulu.
Hakim Che Mohd Ruzima yang bersidang bersama Hakim Datuk Azizul Azmi Adnan dan Datuk Ahmad Kamal Md Shahid berkata Bung Moktar dan Zizie Izette gagal membuktikan terdapat keadaan luar biasa atau ketidakadilan yang jelas, yang boleh membenarkan semakan terhadap keputusan terdahulu.
Pada 18 Nov 2024, panel Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Bung Moktar dan Zizie Izette, serta mengarahkan kedua-duanya untuk membela diri.
Pasangan itu memfailkan permohonan pada Mac lepas di bawah Peraturan 105 Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan 1994, atas alasan bahawa panel Mahkamah Rayuan sebelum ini tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar rayuan pendakwaan dan memohon panel semakan mengembalikan semula keputusan Mahkamah Tinggi.
Dalam penghakimannya, Hakim Che Mohd Ruzima berkata Mahkamah Rayuan, selaku mahkamah tertinggi dalam kes itu sentiasa berhati-hati apabila menggunakan kuasanya untuk menyemak keputusan terdahulu kerana semakan sedemikian pada hakikatnya bercanggah dengan prinsip muktamad.
Hakim itu berkata apabila peguam pemohon mengemukakan hujah bahawa berlaku ketidakadilan dalam kes itu, mahkamah mendapati pemohon masih mempunyai remedi alternatif.
“Perkara yang dibangkitkan di hadapan kami boleh dikemukakan dalam rayuan daripada Mahkamah Sesyen, sekiranya sabitan dikenakan kelak. Kami berpendapat syarat ambang kebenaran untuk menyemak keputusan mahkamah ini sebelum ini belum dipenuhi.
“Kami juga berpendapat perkara ini boleh dibangkitkan dengan wajar pada akhir kes pembelaan. Oleh sebab itu, kami dapati syarat ambang untuk memperoleh kebenaran menyemak keputusan mahkamah ini sebelum ini tidak dipenuhi. Oleh itu, permohonan ini ditolak," katanya.
Dalam prosiding hari ini, pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How, Mohd Fadhly Mohd Zamry dan Maziah Mohaide, manakala peguam Datuk Seri K Kumaraendran dan M Athimulan mewakili Bung Moktar dan Zizie Izette.
- Bernama
