BPR ambil keterangan Nik Aziz
Badan Pencegah Rasuah (BPR) hari ini mengambil keterangan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengenai dakwaan kononnya beliau pernah disogok rasuah 16 tahun lalu.
Badan Pencegah Rasuah (BPR) hari ini mengambil keterangan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengenai dakwaan kononnya beliau pernah disogok rasuah 16 tahun lalu.
Pengarah BPR Kelantan Md Yusoff Md Zain bersama dua pegawainya dilihat memasuki pejabat Nik Aziz di Kota Bharu pada jam 3 petang tadi dan keluar dua jam kemudian.
Md Yusoff yang ditemui pemberita selepas itu bagaimanapun enggan mengulas berhubung pertemuan itu, demikian menurut laporan Bernama.
"No komen, no komen...tunggu selepas ini," katanya ketika terus diasak pemberita dan jurugambar.
Nik Aziz yang ditemui pula berkata beliau hairan kenapa BPR memberikan perhatian kepada dakwaan itu sekarang.
"Kenapa sejak 1991 lagi (BPR tidak diambil tindakan) dan sekarang baru timbul. Kenapa tidak dulu lagi," soal Nik Aziz.
Ketika ditanya adakah BPR menerima penjelasan beliau, Nik Aziz hanya menjawab; "Sudah tentulah."
Minta buat laporan
Tindakan BPR itu dipercayai ada kaitan dengan dakwaan Nik Aziz pada Isnin lalu bahawa beliau pernah disogok rasuah jutaan ringgit oleh pihak tertentu sepanjang mentadbir Kelantan tetapi menolaknya kerana menganggap pemberi atau penerima rasuah adalah golongan rendah pemikiran.
Sabtu lalu, beliau berkata, seorang peniaga cuba memberikan rasuah sebanyak RM1 juta sekiranya beliau bersetuju memberikan kawasan balak.
Ketua Pengarah BPR Datuk Ahmad Said Hamdan kemudiannya meminta Nik Aziz membuat laporan kepada BPR, dan jika gagal berbuat demikian, beliau boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 17 Akta Pencegahan Rasuah 1997.
Ahmad Said mengarahkan Md Yusoff menyiasat dakwaan Nik Aziz itu.
Sementara itu, Bernama turut melaporkan bahawa Ketua Polis Kelantan Datuk Abdul Rahim Hanafi menafikan perjumpaan beliau dengan Nik Abdul Aziz di pejabat Menteri Besar itu semalam adalah bagi mengambil keterangan berhubung tawaran rasuah bernilai jutaan ringgit.
Katanya, kedatangan beliau ke pejabat Menteri Besar merupakan kunjungan biasa selaku Ketua Polis Negeri di samping memberi taklimat keselamatan dalam negeri.
"Kunjungan saya hanyalah lawatan biasa yang lebih bertujuan lawatan kerja dan tiada langsung kaitan berhubung kes rasuah itu," katanya kepada pemberita di Kota Bharu hari ini.
Lawatan biasa
Beliau berkata tidak sepatutnya timbul isu berkenaan kerana kes rasuah bukan di bawah bidang kuasa polis tetapi Badan Pencegah Rasuah (BPR).
Semalam media melaporkan Abdul Rahim menemui Nik Abdul Aziz bagi mengambil keterangan berhubung kes rasuah 16 tahun lalu.
Naib Presiden Pas Datuk Husam Musa dilaporkan berkata perjumpaan antara Nik Abdul Aziz dengan Abdul Rahim pada sebelah pagi bagi mendapatkan penjelasan mengenai tawaran pihak tertentu yang cuba memberi sogokan kepada Menteri Besar Kelantan itu.
Pada 29 Oktober lalu di Majlis Konvensyen Kumpulan Meningkat Mutu Kerja (KMK) Nik Abdul Aziz mengaku beliau pernah ditawarkan rasuah bernilai jutaan ringgit oleh pihak tertentu.
Bagaimanapun, beliau menolak tawaran berkenaan kerana menganggap orang yang memberi atau menerima rasuah adalah golongan yang rendah tahap pemikiran tanpa memikirkan balasan api neraka.
Sabtu lalu pula Nik Abdul Aziz turut mendakwa seorang tauke balak cuba menawarkan rasuah bagi mendapatkan konsesi kawasan pembalakan di negeri itu ketika beliau memulakan tugas pada hari pertama sebagai Menteri Besar.
Sementara itu, Husam ketika ditemui turut menafikan beliau membuat kenyataan berhubung kes berkenaan sebaliknya menyatakan bahawa media telah salah tafsir mengenai kenyataan beliau semalam di Kuala Lumpur pada Forum Rakyat Rasuah dan Jenayah, "Malaysia di Ambang Bahaya", anjuran PAS.

