Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Demo undur Azam: 'Terpulanglah, ini negara merdeka'

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, kelihatan tidak terkesan dengan rancangan pihak tertentu untuk menganjurkan satu lagi perhimpunan mendesak beliau berundur, sebaliknya menghormati hak pengkritiknya untuk menyuarakan pendapat.

“Terpulanglah, saya ni memang orang tak suka. Terpulanglah. Ini negara merdeka. Ini negara bebas,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat SPRM di Putrajaya, pagi tadi.

Azam mengulas perhimpunan yang dijadual berlangsung Sabtu ini di Kuala Lumpur, anjuran Sekretariat Undur Azam Baki, yang bertujuan membantah lanjutan kontrak jawatannya.

Sementara itu, pada sidang media sama, Azam turut menjelaskan isu berkaitan siasatan SPRM melibatkan Pamela Ling Yueh, yang sebelum ini dilaporkan diculik pada 9 April ketika dalam perjalanan ke ibu pejabat SPRM untuk disoal siasat lanjut.

Menurut Azam, wanita itu bukan suspek dalam kes berkenaan, sebaliknya hanya dipanggil sebagai saksi dalam siasatan.

Azam menegaskan penahanan Ling pada Januari lalu dibuat hanya kerana dia gagal mematuhi arahan untuk hadir memberikan keterangan.

“Saya tidak pernah kata dia suspek. Saya hanya sebut dia adalah subjek dalam kes di mana dia tidak hadir seperti diarahkan.

“Jadi dalam kes ini, dia adalah saksi untuk membantu siasatan. Kami tidak pernah panggil dia untuk ditahan,” katanya.

"Saya ingin menegaskan bahawa kes ini saya maintain (kekal) dengan kenyataan bahawa (kejadian) berlaku luar premis SPRM.

"SPRM telah beri kerjasama baik, apa-apa dikehendaki polis telah kita berikan.

"Beliau ditangkap kerana gagal untuk hadir. Bukan atas siasatan kami, gagal hadir ni satu kesalahan kerana ingkar perintah," jelasnya lagi.

Bagaimanapun, Azam enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai siasatan yang melibatkan Pamela Ling.

Pada 2 Mei lalu, keluarga Ling mendedahkan wanita berusia 42 tahun itu — yang juga bergelar Datin Seri — sepatutnya bertemu pegawai SPRM pada 9 April bagi membantu siasatan berkaitan pengubahan wang haram, namun didakwa telah diculik sebelum sempat sampai ke lokasi.

Pemandu Grab yang membawa Ling ketika itu mendakwa kenderaan mereka dihentikan oleh beberapa individu berpakaian seragam polis, yang kemudian memaksa Ling keluar dari kereta dan mengarahkannya menandakan perjalanan sebagai “selesai”.

SPRM kemudiannya menafikan sebarang unsur gangguan atau salah laku dalam pengendalian kes melibatkan Ling, sambil menegaskan setiap tindakan yang diambil mengikut lunas undang-undang.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS