Perhimpunan Pemuda Umno bermula pagi ini dengan mengingatkan para perwakilan sejarah hitam yang melanda parti itu sewaktu krisis kepimpinan Umno pada 1998.

Krisis itu berlaku ekoran pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari kerajaan dan Umno.

Para perwakilan disajikan dengan tayangan dokumentari yang menyorot kembali peristiwa Reformasi jalanan membantah pemecatan Anwar.

Ia juga menyorot pelbagai usaha yang dilakukan untuk memulihkan kekuatan yang melanda pergerakan itu khususnya.

Ketika itu, pergerakan Pemuda Umno dipimpin oleh Datuk Zahid Hamidi yang merupakan penyokong kuat Anwar dan Datuk Hishammudin Hussein adalah timbalannya.

Selepas itu Zahid melepaskan jawatannya dan jawatan ketua Pemuda dipangku oleh Hishammuddin.

Dokumentari itu juga menunjukkan Hishammudin membaca sajak pada perhimpunan Pemuda Umno pada 1999.

Dalam sajaknya itu, Hishammuddin menyamakan perjuangannya untuk memulihkan pergerakan itu dengan kisah pertembungan Hang Tuah dengan Hang Jebat.