Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein percaya ramai di kalangan media alternatif dan komuniti blogger di negara ini yang bertanggungjawab dan memberikan maklumat serta informasi berkualiti tinggi dalam menyumbang kepada pembinaan negara.

Sehubungan itu, katanya, realiti era teknologi maklumat hari ini, dengan keterbukaan berita dan informasi yang tidak dapat disekat, harus dilihat secara positif dan sebagai sebahagian daripada tradisi pendemokrasian dunia maklumat dan alam siber.

Bagi generasi baru, katanya, blog kini menjadi gaya hidup terkini dan melalui kecanggihan ini telah melahirkan apa yang dipanggil Generasi 'You Tube' dan 'facebook' di kalangan mereka.

"Walaupun ia fenomena yang mungkin dianggap baik kepada pembinaan negara tetapi perlu diingat kebebasan harus datang dengan tanggungjawab," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar di perhimpunan Pemuda Umno pagi ini.

"Kebebasan mesti membawa ke arah kematangan masyarakat Malaysia. Kebebasan ini bukan bersifat kebebasan mutlak tanpa apa-apa sekatan. Ia bukan lesen untuk mengecam, menghina, memfitnah dan memburuk-burukkan orang lain.

"Keterbukaan kerajaan bukan alasan untuk menjadikan media dan dunia siber tempat bercambahnya pembohongan dan hasutan.

"Memang mudah menjadi pengkritik. Malah dalam tradisi Melayu, tegur menegur menjadi amalan masyarakat. Kelangsungan sistem bermasyarakat Melayu selama inipun ialah kerana anggotanya bersedia tegur menegur di antara satu sama lain," katanya.

Generasi muda

Menurutnya lagi, terdapat lebih 12 juta rakyat negara ini berusia di bawah 24 tahun hari ini di mana 4.7 juta daripada mereka dalam usia formatif yang penting iaitu di antara 15 dan 24 tahun.

"Generasi ini mempunyai kapasiti intelek yang hebat, progresif, berkeyakinan tinggi dan lebih terbuka kepada pembaharuan.

"Hakikatnya, generasi ini berbeza daripada generasi sebelumnya kerana mereka tidak pernah menempuh jerih perit perjuangan memerdekakan negara," katanya.

Katanya, mereka menghayati perjuangan kemerdekaan dari buku-buku sekolah dan pelbagai catatan sejarah lain.

"Sudah pastilah penghayatan dan pemahamannya berbeza kerana hakikatnya mereka tidak merasai dan melihat dengan mata sendiri peristiwa-peristiwa yang membentuk kontrak sosial, Perlembagaan Negara dan proses penubuhan negara yang tercinta ini.

"Generasi ini juga membesar dalam era globalisasi yang meruntuhkan sempadan di antara negara. Teknologi maklumat sudah pasti mempengaruhi pembentukan sikap, nilai dan jati diri selain boleh merapuhkan pegangan agama, budaya dan semangat kenegaraan yang diwarisi.

"Ini adalah cabaran yang perlu kita hadapi kerana jatuh bangunnya bangsa dan negara pada masa hadapan akan ditentukan oleh generasi muda hari ini.

"Keupayaan generasi pewaris ini memimpin negara satu hari nanti bergantung kepada sejauhmana mereka dilengkapkan dengan asas, nilai, prinsip dan pegangan yang betul," katanya