Jangan sibuk nak rebut jawatan, kata Rafidah
Ahli Wanita Umno diingatkan supaya jangan sibuk bertanya bila pilihanraya umum akan diadakan atau membuat percaturan siapa bakal menjadi calon.
Ahli Wanita Umno diingatkan supaya jangan sibuk bertanya bila pilihanraya umum akan diadakan atau membuat percaturan siapa bakal menjadi calon.
Manakala generasi muda dalam pergerakan itu pula dinasihatkan supaya tidak terlalu memikirkan tentang kuasa dan jawatan.
Itulah ingatan dan dinasihatkan daripada Ketua Pergerakan tersebut, Datuk Seri Rafidah Aziz ketika menyampaikan ucapan dasarnya di perhimpunan wanita di PWTC hari ini.
Sebaliknya, beliau mahu mereka memfokuskan tenaga dan bekerja keras membantu Umno dan Barisan Nasional (BN) menang besar supaya agenda nasional dan agenda Melayu dapat diteruskan.
"Di sini saya ingin mengajak generasi muda mengubah semantik dan ungkapan seperti `mewarisi kuasa', `pelapis kepimpinan' serta `ambil alih
jawatan' kepada `mewarisi dan mengambil alih kerja dan tanggung jawab', dan mengambil alih beban perjuangan'.
"Ini ialah kerana bilangan jawatan terlalu terhad, dan tidak boleh semuanya bercita-cita tentang kuasa dan jawatan," katanya.
Walaupun Rafidah tidak menyebut sebarang nama dalam ucapannya, tetapi nasihat beliau itu dipercayai ditujukan kepada Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Azalina Othman di mana para penyokongnya dikatakan mahu beliau bertanding jawatan nombor satu pergerakan Wanita.
Azalina, yang merupakan ketua pengasas pergerakan Puteri Umno, hanya berdiam diri walaupun perkara itu telah lama diperkatakan.
Kalau mengikut proses peralihan biasa, calon selepas Rafidah ialah timbalannya, Datuk Shahrizat Abdul Jalil akan mengambilalih jawatan Ketua Wanita jika tidak ada sebarang cabaran.
Bagaimanapun, Rafidah, yang menyambut harijadinya yang ke 64 pada hari Ahad, belum menyatakan lagi hasratnya untuk bersara.
Pemilihan Umno yang sepatutnya diadakan tahun ini, telah ditangguhkan sehingga selepas pilihanraya umum akan datang.
Rafidah berkata, tugas pemimpin dalam Umno sekarang adalah bersama-sama dengan pemimpin BN yang lain untuk terus menyeimbangkan kepentingan mana-mana kaum dengan kepentingan masyarakat majmuk serta kepentingan negara.
Sikap keterbukaan
"Sudah pasti usaha ini akan semakin rumit, tetapi dengan persefahaman, pakatan dan keinsafan akan kepentingan bersama penyelesaian kepada apa jua
masalah akan diperolehi dan unsur-unsur sengketa dapat dibendung," katanya.
Sehubungan itu, beliau menegur pihak-pihak yang menggunakan sikap keterbukaan antara pemimpin berbilang bangsa untuk menjejaskan kepentingan masyarakat dan negara.
"Ada pihak-pihak yang telah menyalahguna suasana yang lebih terbuka ini, dan telah mula muncul bibit chauvinisme dan pergeseran. Demokrasi dan
kebebasan individu dalam tafsiran demokrasi tersebut, tidak harus memudaratkan yang lebih ramai.
"Kumpulan kecil tidak boleh dibenarkan mengkhianati kepentingan majoriti dengan mengganggu gugat kestabilan, perpaduan, persefahaman antara rakyat berbilang kaum," katanya.
Rafidah tidak mahu membiarkan demokrasi disalahtafsir dan disalahguna sehingga membangkitkan sentimen-sentimen negatif dan menggugat kestabilan.
Mengenai Umno, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata parti orang Melayu itu akan tetap relevan dan telah begitu berjasa kepada orang Melayu dan kepada rakyat dan negara.
"Pemimpin-pemimpin terdahulu dan sekarang ialah tanpa memikir akan kepentingan diri, membawa rakyat dan negara serta orang Melayu ke tahap yang dibanggakan sekarang.
"Hakikat ini tidak boleh dinafikan. Ia telah terukir dalam sejarah. Insya-Allah, selagi Umno berfungsi menaungi orang Melayu dan rakyat Malaysia, dan selagi Umno berfungsi dan berperanan sebagai tunjang kerajaan, Umno akan tetap relevan," katanya.

