Rafizi Ramli menerima sambutan hangat serta laungan “reformasi” ketika dia tiba di Kongres Nasional PKR di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada.
Rafizi berjalan masuk seorang diri, di tengah laporan mula tersebar bahawa dia gagal mempertahankan jawatan timbalan presiden.
Ketua PKR Pandan itu membuat kemunculan solo sementara pemimpin lain mengiringi presiden, Anwar Ibrahim.
Dia kelihatan tenang dan disambut sorakan para penyokongnya ketika dia menuju pentas utama, di mana Anwar sudah pun ada bersama kepimpinan pusat dan sayap parti.
Penyokong-penyokongnya kelihatan bersemangat apabila melihanya, menyambutnya dengan hangat dengan berjabat tangan dan menepuk bahunya, sementara Rafizi dilihat tersenyum.
Menurut sumber tidak rasmi, dia yang kini bekas timbalan presiden PKR gagal mempertahankan jawatan tersebut dalam pemilihan parti hari ini.

Keputusan itu dimaklumkan oleh salah seorang pegawai Rafizi, beberapa sumber parti, dan seorang ejen kiraan undi yang enggan dinamakan.
"Alhamdulillah. Kalah dah. Begitulah ceritanya," kata Syukri Razab di media sosialnya.
Pemimpin PKR yang berpihak kepada pencabar Rafizi, Nurul Izzah Anwar, turut memaklumkan perkara sama kepada Malaysiakini.
Menurut “senarai pemenang tidak rasmi” yang dilihat Malaysiakini, dua sekutu Rafizi, iaitu Chang Lih Kang dan Aminuddin Harun berjaya mendapat dua daripada empat kerusi naib presiden.
Di peringkat Majlis Pimpinan Pusat, senarai tidak rasmi itu turut menyenaraikan tiga calon dari pasukan Rafizi sebagai pemenang.
Rafizi dan Nurul Izzah berentap secara satu lawan satu bagi jawatan timbalan presiden, manakala 12 calon bersaing untuk jawatan naib presiden.
Proses pengundian ditutup pada jam lima petang hari ini.
Keputusan rasmi dijangka diumumkan pada jam 2.30 petang esok, namun berkemungkinan diumumkan seawal malam ini.
