Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein telah berjaya memecahkan pengaruh Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas pergerakan itu mengalami krisis pemecatan bekas Timbalan Perdana Menteri itu pada 1998, kata seorang perwakilan Pemuda Umno.

Ketua Penerangan pergerakan itu, Datuk Azimi Daim berkata Pemuda Umno di bawah kepimpinan Hishamuddin telah bangkit daripada kegelapan ekoran peristiwa 1998.

Peristiwa 1998 merujuk kepada pemecatan Anwar dari jawatan kerajaan dan parti yang menyebabkan sebilangan pemimpin dan ahli meninggalkan pergerakan tersebut.

"Kita kembali diyakini rakyat dan bangkit semula selepas pilihanraya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lunas pada 2000.

Beliau berkata, ketika para pemimpin dan ahli Pemuda meninggalkan dan mencemuh parti, Hishamuddin telah berjaya mengembalikan keyakinan orang Melayu kepada pergerakan itu.

Dalam ucapannya, Azimi juga berkata, setiap tahun pemimpin dan perwakilan bercakap perkara yang sama kerana parti belum boleh menyelesaikan perkara-perkara pokok orang Melayu.

Menurutnya, orang Melayu semua hendak percuma dan kalau kena bayar mereka akan marah kepada kerajaan.

'Batu loncatan'

"Semua dalam dunia ini, mereka hendak percuma, kalau boleh bini nak percuma," katanya berseloroh.

Azimi berkata, ketika orang lain tidak bergantung sedikitpun kepada kerajaan, orang Melayu hendak membina surau dengan duit sendiri pun tidak boleh.

Beliau juga mengingatkan Pemuda supaya jangan menjadikan pergerakan itu sebagai batu loncatan untuk mendapatkan jawatan politik.

"Pasang kabel sana, pasang kabel sini dan edarkan senarai nama sebagai calon dalam pilihanraya," katanya,

Mengenai isu keris, Azimi berkata, orang lain tidak perlu membuat kecoh kerana menghunus keris merupakan lambang orang Melayu.

Katanya, belum ada dalam sejarah pergaduhan berlaku kerana keris.