Pergerakan Puteri Umno menggesa supaya pelbagai akta berkaitan seperti Akta Hasutan, Akta Keselamatan Dalam Negeri, Akta Rahsia rasmi serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, dikuatkuasakan sepenuhnya terhadap pengendali laman blog yang boleh menurutnya mencetuskan ketegangan di kalangan kaum dan agama.

"Kita juga ada Akta Fitnah 1975 dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Media 1998, yang bertujuan mengawal untuk kebaikan jangka panjang pengguna komunikasi dan media bagi memastikan keselamatan maklumat dan rangkaian boleh dipercayai serta berintegriti.

"Beberapa peruntukan dalam akta berkenaan juga menjadi asas kepada pemantauan blog yang menyalahi etika penulisan. Sudah tiba masanya langkah penguatkuasa lebih tegas dilaksanakan," katanya dalam ucapan dasarnya di perhimpunan Puteri Umno di PWTC hari ini.

Noraini juga berkata, pergerakan itu kecewa dengan perbuatan penyalahgunaan ICT dan laman blog yang menurutnya sehingga berani menghina dan menghasut rakyat untuk menentang pemimpin negara, serta menghina agama Islam negara ini.

Noraini berkata, pergerakan itu juga kesal dengan tindakan laman blog yang membangkitkan isu rasuah membabitkan polis dan Badan Pencegah Rasuah (BPR), kerana ia mampu menjatuhkan keyakinan masyarakat terhadap agensi penguatkuasa undang-undang negara.

"Ia juga mampu menjejaskan kemasukan pelabur asing ke Malaysia kerana ia bukan saja menimbulkan kerisauan terhadap isu rasuah, malah menyebabkan mereka bimbang terhadap keselamatan di sini," katanya.

Dalam ucapannya itu, Noraini berkata, pergerakan itu membantah sekeras-kerasnya tindakan seorang pelajar Malaysia di Taiwan yang menggunakan nama samaran Namewee, mempersendakan agama Islam dan bangsa Melayu menerusi lirik lagu Negaraku dan Kawanku.

Tiada maaf

Ketua Puteri Umno, Datuk Noraini Ahmad berkata lagu yang dicipta pelajar tersebut telah mencetuskan kemarahan banyak pihak terutama orang Melayu di negara ini.

"Puteri juga menolak sama sekali permohonan maaf pelajar terbabit kerana perbuatannya bukan saja keterlaluan, malah biadap dan kurang ajar," katanya.

"Lebih dahsyat lagi selepas perbuatan biadap Namewee, kita telah dikejutkan dengan insiden seorang remaja Melayu membakar bendera negara, Jalur Gemilang dalam satu kejadian rusuhan di Kuala Terengganu pada 8 September lalu..

"Kita dikejutkan, terkilan dan marah dengan kejadian itu yang dikatakan berpunca daripada kegagalan pembangkang mendapatkan permit polis bagi mengadakan satu perhimpunan.

"Sesungguhnya ia adalah isu nasional membabitkan maruah dan jati diri masyarakat Malaysia dan orang Melayu," katanya.

Noraini berkata, perkara tersebut tidak mungkin berlaku jika semangat patriotisme dan semangat politik kepartian tidak dicampuraduk hingga semangat kemerdekaan serta kenegaraan terhakis dan dipinggirkan.

"Puteri Umno menyelar sekeras-kerasnya perbuatan ganas membakar Jalur Gemilang dan menganggap ini sebagai tindakan kelompok pengkhianat bangsa dan negara. Ini mencabul maruah Malaysia sebagai negara berdaulat yang bebas dan merdeka," katanya.

Sehubungan itu, katanya Puteri Umno mendesak supaya tindakan setegas-tegasnya diambil terhadap "pengkhianat terbabit".