Bercuti tidak semestinya dipenuhi jadual padat dan aktiviti yang berkejar-kejaran. Kini, trend slow travel (melancong secara santai) semakin mendapat tempat di hati pelancong Asia yang memilih untuk menginap di sesuatu lokasi lebih lama dan menikmati pengalaman percutian dengan lebih tenang serta bermakna.
Menurut data terkini dikeluarkan Agoda, Kuala Lumpur tersenarai dalam kelompok 10 bandar terbaik di Asia untuk pelancong yang mahu mengamalkan konsep pelancongan slow travel.
Ia menunjukkan semakin ramai pelancong tidak sekadar singgah untuk seketika, sebaliknya mahu menyelami keunikan budaya, makanan, dan suasana tempatan secara lebih mendalam.
Pengarah Negara Agoda untuk Malaysia dan Brunei, Fabian Teja, berkata semakin ramai pelancong yang menghargai konsep percutian lebih santai dan tidak tergesa-gesa.
Katanya, ia juga sejajar dengan komitmen Agoda untuk menawarkan pelbagai pilihan penginapan dan aktiviti bagi membolehkan mereka menikmati pengalaman percutian yang lebih bermakna.
“Seiring dengan kehidupan yang bergerak pantas, semakin ramai pelancong yang menerima idea untuk memperlahankan rentak demi benar-benar menghayati keindahan sesebuah tempat, bukannya sekadar melawatinya secara sepintas lalu.
“Banyak destinasi percutian di Malaysia menawarkan pelbagai tarikan warisan dan budaya yang kaya, sesuai untuk diterokai dalam suasana yang tidak tergesa-gesa.
“Di Agoda, kami teruja untuk menjadi sebahagian daripada gerakan ini dengan membawakan tawaran hebat untuk penginapan dan aktiviti yang memudahkan para pelancong menikmati percutian mereka dengan lebih santai,” katanya.

Menurut Teja, Kuala Lumpur menawarkan pelbagai tarikan menarik buat penggemar slow travel seperti Little India dan Jalan Petaling yang meriah, sehinggalah ke keindahan seni bina ikonik Menara Berkembar Petronas dan Bangunan Sultan Abdul Samad.
Peminat kulinari pula, katanya, boleh menikmati hidangan tradisional seperti nasi lemak dan char kuetiau sama ada di gerai jalanan mahupun di restoran mewah.
Untuk konteks Malaysia, Kuala Lumpur dan Langkawi menduduki dua tangga teratas sebagai destinasi yang mencatat tempoh penginapan paling lama oleh pelancong, diikuti Johor Bahru di tempat ketiga.
Pulau Perhentian yang sebelum ini popular, kali ini tidak termasuk dalam senarai destinasi utama.
Bagi pelancong Malaysia yang memilih bercuti ke luar negara pula, Tokyo menjadi destinasi utama untuk percutian santai mereka.
Data Agoda yang merangkumi tempahan dari sembilan pasaran di Asia bagi tempoh Jan hingga Mac 2025 turut menunjukkan destinasi lain yang popular untuk slow travel termasuk Rayong (Thailand), Kalegowa (Indonesia), Seoul (Korea Selatan), Tokyo (Jepun), Nha Trang (Vietnam), Pulau Boracay (Filipina), Taipei (Taiwan), dan Chennai (India).
