Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kalau tak ke mahkamah, siapa tahu ada titah adendum - Puad
Diterbitkan:  May 27, 2025 12:30 PM
Dikemaskini: 4:39 AM

Seorang pemimpin Umno tampil mempertahan tindakan Najib Razak memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap bekas peguam negara (AG) Terrirudin Mohd Salleh atas dakwaan menyorok titah adendum.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Mohd Puad Zarkashi turut membidas Jabatan Peguam Negara (AGC) yang mengecam tindakan bekas perdana menteri itu.

"AGC mengecam tindakan Najib memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap bekas AG Terrirudin Mohd Salleh.

"Tetapi kalau Najib tidak cabar kes titah adendum ke mahkamah, rakyat tidak akan tahu titah itu wujud. Apatah lagi Terriruddin menafikannya.

"Maka, apakah tidak wajar tindakan Najib memulakan prosiding menghina mahkamah?" katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Pada 23 Mei lalu, AGC mengecam tindakan bekas perdana menteri itu yang memulakan prosiding penghinaan mahkamah terhadap Terrirudin.

AGC menyifatkan tindakan itu satu penyalahgunaan proses mahkamah dan secara langsung melanggar perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang sebelum ini memutuskan supaya semua prosiding berkaitan titah adendum - yang mengarahkan baki hukuman penjara enam tahun Najib dilaksanakan di bawah tahanan rumah - ditangguhkan.

“Untuk penjelasan, isu yang dibangkitkan dalam permohonan tersebut kini merupakan subjek rayuan yang masih belum diputuskan di Mahkamah Persekutuan, yang telah ditetapkan untuk pendengaran pada 1 dan 2 Julai 2025, berkaitan Permohonan Semakan Kehakiman No. WA-25-136-04/2024. Isu-isu yang dijadikan asas kepada permohonan komital akan dihujahkan secara menyeluruh dalam prosiding rayuan tersebut.

Najib Razak

"Mahkamah Tinggi pada 28 April 2025 telah membenarkan penangguhan terhadap semua prosiding sehingga keputusan rayuan tersebut diselesaikan oleh Mahkamah Persekutuan.

"Pada 22 Mei 2025, Mahkamah Tinggi turut mengesahkan secara bertulis bahawa penangguhan tersebut meliputi semua prosiding sedia ada dan akan datang yang berkaitan dengan kes ini, termasuk prosiding penghinaan mahkamah.

"Sebarang cubaan untuk memulakan atau meneruskan prosiding penghinaan semasa perintah penangguhan masih berkuat kuasa merupakan satu tindakan yang secara langsung melanggar perintah Mahkamah dan menjejaskan pentadbiran keadilan yang teratur,” menurut kenyataan itu.

Mengulas lanjut Mohd Puad berkata, apa pilihan yang Najib ada selepas AGC pula membuat rayuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan.

Keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini membenarkan untuk memulakan semakan kehakiman untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan titah adendum pada Januari tahun lalu.

"AGC pula membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan itu? Maka itu signal apa?

"Apa lagi pilihan yang ada pada Najib apabila titah itu disorok lama dan house arrest juga masih tertangguh? Semoga Julai ini tidak bertangguh lagi," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS