Seorang perwakilan Umno hari ini mengingatkan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) dan pihak pembangkang bahawa tindakan mereka membangkitkan isu keris boleh dianggap sebagai mempertikaikan adat resam Melayu.

"Kita acah aje, tak tikam, jangan takut...kita dah cukup berlembut, kita dah cukup adil, bertolak ansur, berdiplomasi...," kata perwakilan Melaka, Ashakari Abu Noor.

Oleh itu, beliau yang juga Ketua Pemuda Umno Melaka meminta rakan-rakan Pemuda dalam BN supaya jangan mempertikaikan tindakan Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mencium dan menghunuskan keris sewaktu perhimpunan pergerakan itu setiap tahun.

Beliau turut menjelaskan mengenai keris itu melalui serangkap pantun:

Main hadrah buka puasa,

Merah kulit jari di tangan,

Keris dipegang tanda kuasa,

Diacah boleh ditikam jangan.

Sementara itu, perwakilan Negeri Sembilan, Samad Ibrahim turut menjelaskan bahawa menghunus keris bukan bermakna hendak memulakan pergaduhan.

"Hakikatnya, politik kita adalah politik perkauman, kita sedar semua bangsa memperjuangkan bangsa mereka.

"Kita tidak mampu berbobong pada diri kita...beretorik...begitu jugalah , retorik, begitu dengan MCA, MIC...," katanya ketika membahaskan ucapan dasar ketua pergerakan tersebut hari ini.

Oleh itu, katanya, mereka semua harus sedar bahasa Barisan Nasional (BN) adalah tempat untuk berkompromi dan menyelesaikan masalah.

"BN bukan tempat untuk mengugut...," katanya