Rafidah: Jangan lagakan saya dengan Shahrizat
Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Rafidah Aziz memberi amaran kepada mana-mana pihak supaya jangan cuba melaga-lagakan beliau dengan timbalannya, Datuk Shahrizat Abdul Jalil.
Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Rafidah Aziz memberi amaran kepada mana-mana pihak supaya jangan cuba melaga-lagakan beliau dengan timbalannya, Datuk Shahrizat Abdul Jalil.
Sehubungan itu, beliau menegaskan supaya mereka dan ahli pergerakan itu supaya tidak mengada-adakan cerita mengenai hubungan antara mereka berdua.
Sambil menyifatkan gandingan beliau dengan Shahrizat sebagai pemimpin yang banyak pengalaman, Rafidah berkata: "Kami bekerja dalam satu pasukan tetapi banyak usaha untuk pecahkan kami berdua.
"Oleh kerana itu, saya tidak baca akhbar-akhbar nyamuk kerana malas hendak melayannya," katanya ketika menggulung perbahasan dalam perhimpunan pergerakan itu di PWTC di ibu negara hari ini.
Rafidah juga mengucapkan terima kasih kepada perwakilan kerana terus menyokong beliau dalam menerajui pergerakan itu.
"Saya sanjung sokongan puan-puan, seolah-olah saya diberi semangat yang lebih, seperti semangat baru datang.
"Walaupun saya telah berumur 64 tahun, tetapi semangat macam berumur 46 tahun tetapi kekuatan berumur 47 tahun, " katanya.
Jangan melatah
Dalam ucapannya, Rafidah juga menasihatkan ahli pergerakan itu supaya tidak menjadi musuh dalam selimut atau 'lipat di luar, rencong di dalam'.
Beliau berkata, ahli Wanita juga jangan sesekali membenarkan pergerakan itu terlerai atau dileraikan oleh unsur-unsur fitnah, hasutan dan adu domba.
Katanya, mereka juga jangan mudah dilatah dan membenarkan orang mengeletek kerana ia boleh membawa perpecahan kepada pergerakan itu.
"Kalau retak di cawangan dan bahagian, ahli-ahli perlu eratkan semula," katanya.
Terdahulu Shahrizat dalam ucapannya berkata, pendiriannya sama ada tersirat atau tersurat terhadap Rafidah tidak pernah berubah.
Katanya, beliau amat mengkagumi dan menghormati kebijakan dan keberanian Rafidah dan beliau (Rafidah) bukan calang-calang pemimpin dalam pergerakan Wanita.
"Saya akan terus membantu Rafidah kerana prinsip dan jati diri saya merupakan budaya Umno tulen.
"Adat Melayu pantang menderhaka. Yang muda disanjung, yang tua dihormati. Bak kata perpatah, naik tangga dari bawah," kata Shahrizat lagi.

