Umno tetap komited dan sama sekali tidak apologetik terhadap usaha untuk memartabatkan Islam, kata Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan bahawa Umno sama sekali tidak merestui tafsiran dan amalan Islam secara sempit.

"Umno menentang sebarang budaya ganas, budaya politik yang mencetuskan kekacauan yang boleh mengganggu-gugat urusan kehidupan dan urusan muamalat negara dan ummah.

"Islam bukan milik mana-mana pihak - apatah lagi sebuah parti politik. Islam jangan sekali disempitkan dengan mengaitkan sebagai perjuangan sebuah organisasi politik.

"Islam tidak bolah dijadikan milik eksklusif mana-mana pihak," kata Abdullah ketika berucap merasmikan perhimpunan agung Umno di PWTC di ibunegara hari ini.

Dalam hubungan tersebut, beliau berkata, Islam menganjurkan kesederhanaan dan dalam perhimpunan agung Umno 2004 beliau telah menggariskan sepuluh prinsip Islam Hadhari.

"Manhaj atau pendekatan Islam Hadhari telah difahami dan menerima sokongan dari parti-parti komponen Barisan Nasional (BN).

Berwajah sederhana

"Ini menunjukkan bahawa pendekatan Islam yang dianjurkan oleh Umno berwajah sederhana - bersifat adil," katanya.

Katanya, tuntutan untuk kembali kepada semangat yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan' wajar dilihat secara menyeluruh, dan bukan secara terpisah dengan menumpukan kepada beberapa fasal tertentu sahaja.

"Perlembagaan memperuntukkan bahawa Islam adalah agama bagi Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai, di mana-mana bahagian Persekutuan," katanya.

Bersandarkan semangat Perlembagaan, katanya, rakyat Malaysia pelbagai agama hendaklah mengamalkan budaya saling menghormati satu sama lain dan Islam sendiri menyeru umatnya menghormati penganut agama lain.

Abdullah mengingatkan bahawa sikap tidak menghormati mahupun sikap ekstremisme di satu pihak akan mencetuskan tindak balas yang sama di pihak yang lain.

"Keganasan di satu pihak akan membenihkan keganasan di pihak lain. Oleh itu, jika kita mahu agama kita dihormati dan difajami, marilah kita dalam Umno memperlihatkan contoh teladan terbaik, dengan mengamalkan sikap menghormati penganut dan keperluan agama-agama lain," katanya.